Rabu, 25 November 2020 | 12:53pm
Jasad mendiang Koperal Baharuddin Ramli tiba di kompleks perumahan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam. - Foto BERNAMA
Jasad mendiang Koperal Baharuddin Ramli tiba di kompleks perumahan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam. - Foto BERNAMA

Mendiang Koperal Baharuddin selamat disemadikan

JEMPOL: Cuaca mendung mengiringi upacara pengebumian anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Koperal Baharuddin Ramli, 54 yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi semalam.

Mendiang dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sampo dekat sini jam 12.20 tengah hari tadi.

Upacara pengebumian mengikut istiadat polis itu turut dihadiri balu mendiang, Relow Ko, 48, tiga anaknya selain bapa, Ramli Derus dan sanak saudara.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA) Datuk Kasuahdi Ali.

Mendiang Baharuddin terbunuh dalam kejadian pada 3.10 pagi semalam, manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39 parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

Sementara itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Baharuddin.

Beliau menyifatkan pemergian mendiang kehilangan besar kepada negara dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami mendoakan keluarga mendiang bersabar dengan ujian itu.

"Dalam pada itu, kami juga berdoa Norihan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas," katanya.

Berita Harian X