Selasa, 24 November 2020 | 10:42pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

Kerajaan Negeri Sembilan zahir takziah kepada keluarga mendiang Baharuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya difahamkan bahawa mendiang adalah anak jati Jempol, Negeri Sembilan dan meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika bertugas mengawal sempadan negara daripada diceroboh anasir luar.

"Saya juga berdoa Koperal Norihan a/l Tari yang turut tercedera ketika bertugas bersama mendiang sembuh daripada kecederaan yang dialami," kata Aminuddin melalui hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Mendiang Baharuddin, 54, dari suku kaum Semelai, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada kira-kira jam 2.30 pagi, manakala rakan setugasnya Norihan, 39, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis. – BERNAMA

Berita Harian X