Selasa, 24 November 2020 | 7:34pm

Jenazah anggota PGA terkorban dibawa pulang ke Negeri Sembilan

ALOR SETAR: Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut ditembak awal padi tadi dibawa pulang ke Bahau, Negeri Sembilan, selepas selesai menjalani bedah siasat petang tadi.

Keranda mendiang dibawa dengan penuh adat kepolisan sejurus bedah siasat selesai jam 6.20 petang.

Terdahulu jenazah mendiang dibawa ke Kem Batalion 3 PGA Bidor, Perak untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk disemadikan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata proses bedah siasat berjalan hampir empat jam di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Beliau berkata, mendiang kemudian dipakaikan dengan pakaian seragam PGA sebelum dimasukkan ke dalam keranda.

"Keranda mendiang diiringi anggota polis dari Kontinjen Kedah dengan penuh istiadat polis dan perwira negara.

"Mendiang dibawa pulang ke kampungnya untuk disemadikan," katanya ketika ditemui di HSB, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, mangsa ditembak ketika sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah dan dilaporkan kritikal.

Mayat mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang ditembak mati di sempadan Malaysia-Thailand dibawa ke Kem Batalion 3 PGA, di Bidor sebelum dibawa ke kampung halaman di Bahau, Negeri Sembilan untuk disemadikan. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Mayat mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang ditembak mati di sempadan Malaysia-Thailand dibawa ke Kem Batalion 3 PGA, di Bidor sebelum dibawa ke kampung halaman di Bahau, Negeri Sembilan untuk disemadikan. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X