Selasa, 24 November 2020 | 5:50pm
Seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi
Seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi
Sebahagian daripada bungkusan ketum yang cuba diseludup ketika serangan bersenjata api terhadap anggota pGA di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.
Sebahagian daripada bungkusan ketum yang cuba diseludup ketika serangan bersenjata api terhadap anggota pGA di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

TERKINI: Dua anggota PGA berbalas tembak dengan 13 penyeludup

PADANG BESAR: Keberanian dua anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan serbuan ke atas 13 penyeludup, berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah ketum dan ubat batuk di Pos 9 sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun kejadian jam 3.10 pagi itu mengakibatkan Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi
Seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi

Dalam serangan itu, dua anggota PGA yang bersenjatakan pistol Walther P99, sempat melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah penyeludup, menyebabkan tiga daripada penjenayah itu mengalami kecederaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata sebelum kejadian dua anggota PGA terbabit sedang melakukan rondaan pada jarak kira-kira 600 meter dari tembok sempadan sebelum bertembung kumpulan penyeludup.

Katanya, dua anggota terbabit kemudian bertindak melakukan serbuan di lorong tikus lokasi kumpulan penyeludup berkumpul menyebabkan berlaku kejadian berbalas tembakan.

"Dalam serbuan itu, Koperal Baharuddin bertindak berani apabila berjaya mencederakan penyeludup, namun malangnya dia sendiri terkena tembakan dan meninggal dunia di lokasi.

"Koperal Norihan yang turut cedera, bagaimanapun sempat keluar dan berusaha mendapatkan bantuan anggota PGA lain di Pos 9, sebelum mereka bertindak memburu penyeludup," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Surina berkata, anggota PGA bersama pasukan Komando 69 (VAT69) kemudian berjaya mengesan dua penyeludup bersembunyi di kawasan hutan berdekatan dan merampas kira-kira 500 kilogram ketum dan sejumlah ubat batuk.

"Pihak polis Thailand yang dimaklumkan mengenai kejadian, turut mengesan sebelum menahan tiga penyeludup ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Hatyai dan seorang lagi rakan yang membawa mereka.

"Ketika ini, usaha memburu tujuh lagi penyeludup sedang dilakukan pasukan keselamatan Malaysia bersama pihak berkuasa Thailand," katanya.

Difahamkan, keadaan Koperal Norihan masih kritikal selepas dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan sudah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.

Mayat mendiang Koperal Baharuddin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi proses bedah siasat dan dijangka dibawa pulang bagi dikebumikan di Bahau, Negeri Sembilan.

Berita Harian X