Selasa, 24 November 2020 | 5:37pm

'Abang seorang yang berani'

ALOR SETAR: "Abang seorang yang berani dan sangat cekal dalam melakukan tugasan," kata Basri Sampe, adik tiri Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Basri, 43 yang juga anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, berkata kali terakhir mereka bertemu pada jam 3 petang semalam ketika mendiang melalui pos kawalan tempat dia bertugas.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui alat perhubungan telekomunikasi di pos kawalan PGA di sempadan, namun pada awalnya tidak dimaklumkan anggota mana yang terbabit.

"Tidak lama kemudian saya dimaklumkan mangsa adalah abang saya.

"Abang memang baik dan rapat dengan keluarga walaupun kami berlainan ayah" katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Mengulas pertemuan terakhir semalam, Basri berkata mendiang menunggang motosikal dan mengangkat tangan serta menegurnya sebelum dia memulakan tugasan.

"Kami tak sempat berbual dan itu kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum kejadian berlaku," katanya.

Basri berkata, abangnya meninggalkan isteri, Relow a/p Alang Ko, 48, dan tiga anak.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap tindakan undang-undang dilakukan terhadap pihak yang melakukan kegiatan itu sehingga meragut nyawa abangnya.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, mendiang Baharuddin, 54, yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut akibat ditembak.

Mangsa sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dengan keadaan dilaporkan kritikal.

Mayat Baharudin dihantar ke HSB untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan untuk disemadikan.

Basri Sampe reda dengan pemergian abang tirinya, mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang kali terakhir ditemuinya petang semalam. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Basri Sampe reda dengan pemergian abang tirinya, mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang kali terakhir ditemuinya petang semalam. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X