Selasa, 24 November 2020 | 2:31pm
Mendiang Koperal Baharuddin Ramli. FB Polis Diraja Malaysia
Mendiang Koperal Baharuddin Ramli. FB Polis Diraja Malaysia

KPN, warga PDRM rakam takziah anggota PGA terkorban

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak ketika bertugas dalam Operasi Benteng di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Ucapan sama turut dizahirkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan insiden menimpa Baharuddin, 54, yang juga anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam kenyataan dimuat naik melalui akaun Facebook rasmi PDRM, Abdul Hamid berkata, kejadian berbalas tembakan itu berlaku antara anggota PGA dengan dua kumpulan penyeludup.

"Beliau ketika itu menjalankan tugas risikan di Tembok Sempadan (TS9).

"Insiden berkenaan turut mencederakan rakan setugas yang lain," katanya.

Abdul Hamid sekali gus menyifatkan pemergian Baharuddin sebagai kehilangan besar kepada PDRM dan negara.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, mangsa sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Setakat ini, punca kejadian dan identiti penyerang terbabit masih belum diketahui.

Berita Harian X