Selasa, 24 November 2020 | 12:30pm

SPR bincang PRK Parlimen Gerik, DUN Bugaya

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan media, berkata pihaknya menerima pemakluman masing-masing daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada 18 November 2020, mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P054 Gerik, Perak.

Beliau berkata, kekosongan kerusi DUN N66 Bugaya, Sabah, pula dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya, semalam.

"Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan (P054 Gerik).

"Satu PRK juga akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi N66 Bugaya berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah," katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada jam 9.30 pagi, Jumaat ini, di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya yang akan dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, ia bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan kedua-dua PRK itu.

Pada masa sama, SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Berita Harian X