Selasa, 24 November 2020 | 11:39am

KKM mulakan pelalian PCV 1 Disember ini

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak di semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara, bermula 1 Disember ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata vaksin pneumokokal konjugat (PCV) diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau pneumokokus.

Katanya, jangkitan itu boleh mengakibatkan penyakit radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

"Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

"Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya. Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan antibiotik, terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

Katanya, melalui pelaksanaan pemberian PCV bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak itu, ia akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada usia empat bulan dan enam bulan; diikuti satu dos penggalak (booster) pada usia 15 bulan.

Kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM manakala ibu bapa perlu membuat temujanji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19.

Bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang sudah berusia lima bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM.

KKM turut membenarkan ibu bapa mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang sudah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM.

Dr Noor Hisham berkata, pemberian vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta tertakluk kepada caj yang dikenakan fasiliti kesihatan swasta.

Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin pneumokokal yang akan digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk tempoh dua tahun pertama pelaksanaan adalah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap 10 'serotype' bakteria pneumokokus, merangkumi 'serotype' 1, 4, 5, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F serta memberi perlindungan 'cross-reactivity' terhadap 'serotype' 19A.

Mengulas tahap keselamatan PCV, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan kepada pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 156 negara menyenaraikan vaksin itu dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

"Seperti vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Bagi memastikan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia kekal selamat, kesan berlawanan susulan imunisasi (AEFI) vaksin dipantau rapi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"PCV sudah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2009 dan tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan melalui pemantauan yang dijalankan," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Berita Harian X