Selasa, 24 November 2020 | 10:23am
Tembok di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - NSTP/Amran Hamid
Tembok di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - NSTP/Amran Hamid

Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA

PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, awal pagi tadi.

Sumber memaklumkan, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah, menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dilakukan.

Katanya, sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 13 November lalu.

"Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati kita (pasukan keselamatan) ketatkan kawalan dan rondaan di sempadan.

"Dalam kes dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi tadi, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan dilaporkan kritikal.

Menurut sumber itu, anggota yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudian bertindak melarikan diri.

Laporan sebelum ini menyebut, tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum lumpuh.

Berita berkaitan:

  • Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
  • Anggota PGA diserang: Kumpulan warga tempatan, asing terbabit - Hamzah
  • Berita Harian X