Isnin, 23 November 2020 | 9:04pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

6 daripada 1,000 dijangkiti COVID-19 berdepan risiko mati

PUTRAJAYA: Statistik yang dikumpulkan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati enam daripada 1,000 individu yang dijangkiti COVID-19 di negara ini berdepan risiko kematian.

Selain itu, sebanyak 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian berkaitan COVID-19 dicatatkan setakat ini membabitkan pesakit berusia 60 tahun ke atas.

Sebanyak 61.4 peratus daripada kematian pula membabitkan individu yang menghidap penyakit darah tinggi, diikuti dengan diabetes (42.3 peratus) penyakit jantung (24.1 peratus), kolestrol tinggi (19.1 peratus), penyakit buah pinggang (14.9 peratus) penyakit paru-paru (10.6 peratus) manakala kanser dan penyakit hati masing-masing menyumbang 4.6 peratus dan 1.7 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sejak awal lagi KKM sudah melihat cara untuk melindungi kumpulan berisiko tinggi dan rentan ini.

"Antara prosedur operasi standard (SOP) kami ialah untuk memastikan kumpulan berisiko tinggi ini dilindungi dan mereka yang pulang ke kampung halaman dinasihatkan menghindari kumpulan berisiko tinggi ini.

"Apabila anda balik ke kampung, anda mungkin membawa bersama jangkitan kepada warga emas. Mereka yang sudah berusia dan mempunyai penyakit komorbiditi mempunyai antibodi yang lemah berbanding mereka yang lebih muda," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Berita Harian X