Isnin, 23 November 2020 | 12:00pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Peserta teknologi terima baik inisiatif, insentif diberi

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada aspek teknologi dan inovasi kerana krisis kesihatan ekoran pandemik COVID-19 membuktikan kepentingannya dalam memastikan kesejahteraan serta kemampanan perniagaan.

Justeru, tidak begitu mengejutkan apabila peserta teknologi menjadi kalangan penyokong yang amat bersungguh-sungguh terhadap belanjawan itu, yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat dan dijadualkan melalui undian untuk diluluskan dalam beberapa hari lagi.

Belanjawan pertama kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu menetapkan beberapa inisiatif bertumpuan teknologi yang merangkumi penambahbaikan kesalinghubungan Internet, menggalakkan pelaburan dalam nilai tambah tinggi serta teknologi hijau.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar Sdn Bhd, Ko Chuan Zen, berkata langkah yang dicadangkan belanjawan itu akan memudahkan proses pemulihan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat, termasuk melalui peruntukan khususnya bagi pembangunan Malaysia yang lebih lestari dan berpengetahuan.

"Walaupun sudah dibentangkan, namun kelulusan terhadap belanjawan itu bergantung kepada persetujuan Parlimen. Pada masa sama, sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia berada di persimpangan yang penting.

"Beberapa inisiatif dan peruntukan menerusi belanjawan itu, sepertiBonKemampananpertamadi Malaysia bagi usaha alam sekitar dan sosial, akan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk gaya hidup mampan," katanya.

Beliau berkata, bon itu yang juga pinjaman untuk membiayai projek yang membawa manfaat alam sekitar bersih dan sosioekonomi akan membantu mengekalkan industri dalam tempoh mencabar ini.

Selain itu, Chuan Zen berkata, peruntukan sebanyak RM2 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi tempoh dua tahun sehingga 2022 adalah usaha yang bagus, terutama bagi syarikat yang merancang untuk melabur dalam teknologi hijau.

"Sektor swasta dan perindustrian bersedia untuk memanfaatkan GTFS itu," katanya.

KO Chuan Zen.
KO Chuan Zen.

Beliau berkata, kriteria utama, termasuk sekurang-kurangnya 51 peratus kepentingan syarikat atau perniagaan dimiliki oleh entiti Malaysia yang sah.

"Memandangkan bangunan komersial dan perindustrian mahu menjimatkan lebih banyak dari segi bil tenaga, peruntukan RM1 bilion menerusi Skim Transformasi Pendigitalan Industri berpotensi membantu perniagaan menerima guna teknologi Internet Pelbagai Benda yang boleh merealisasikan penggunaan tenaga secara lebih pintar," katanya.

Justeru, beliau berkata, Belanjawan 2021 perlu diluluskan apabila tiba masanya dengan perbincangan terbuka membabitkan semua pihak bagi memastikan keutamaan diberi kepada peruntukan bagi menangani krisis pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi serta kestabilan politik negara secara keseluruhannya.

Sementara itu, menurut Halal Street UK (HST), e-pasaran bagi produk Malaysia di United Kingdom (UK), belanjawan yang dicadangkan itu adalah positif untuk menyelesaikan masalah dan cabaran meliputi semua sektor masyarakat, di samping menangani impak ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Ia turut menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan pendigitalan di bawah skim transformasi digital dan dana tambahan berjumlah RM150 juta yang akan disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Geran Automasi.

"Inisiatif daninsentif yangmencukupi sudah diumumkan ke arah menyokong perniagaan, terutama dalam kalangan PKS yang masih bergelut dengan impak pandemik itu untuk beralih kepada e-dagang.

"Sebanyak RM35 juta disediakan untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan yang sudah pastinya membantu PKS pulih daripada kerugian dan mempunyai capaian pasaran lebih luas dengan melangkah ke peringkat global," katanya.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro pula berkata, pelaburan untuk memperluaskan infrastruktur digital penting dan perkhidmatan yang inovatif serta mendemokrasikan akses internet menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia. BERNAMA

Berita Harian X