Isnin, 23 November 2020 | 11:59am
KELIHATAN pemandu-pemandu teksi sedang menunggu penumpang ketika tinjauan di sekitar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA
KELIHATAN pemandu-pemandu teksi sedang menunggu penumpang ketika tinjauan di sekitar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA

Tumpu ringan beban rakyat kekuatan Belanjawan 2021

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu dilihat bersifat menyeluruh dan prihatin rakyat serta menepati jangkaan pasaran dalam mengurangkan beban rakyat dan terus menyokong pemulihan ekonomi dalam menanganiimpak negatif penularan COVID-19, kata penganalisis.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata kekuatan Belanjawan 2021 terletak pada penumpuannya dalam mengurangkan kesusahan rakyat akibat daripada impak pandemik COVID-19.

Beliau berkata, skim Bantuan Sara Hidup (BSH) diperkasakan dengan skim lebih komprehensif, iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang memberikan bantuan lebih banyak dan mencakupi lebih ramai rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Walaupun moratorium tidak dilakukan secara automatik, namun kerajaan begitu prihatin dengan memberikan opsyen kepada golongan B40. Ini adalah satu permulaan yang baik.

"Program baucar perlindungan Tenang juga adalah satu program yang baik. Takaful hayat ini semestinya sangat membantu kepada golongan B40," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 yang sedang hangat dibahaskan di Dewan Rakyat bakal melalui ujian pertamanya apabila pengundian peringkat dasar dilaksanakan pada 26 November ini.

Implikasi besar bakal melanda negara, termasuk gaji penjawat awam tidak dapat dibayar sekiranya belanjawan itu ditolak pada pengundian itu nanti.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion daripada RM314.7 bilion pada tahun ini.

Katanya, angka itu sememangnya yang tertinggi dalam sejarah dan ini menunjukkan kerajaan serius dalam menangani wabak COVID-19 serta kesannya kepada ekonomi negara.

"Hakikatnya belanjawan ini adalah suatu usaha untuk mengimbangi permintaan rakyat serta keperluan untuk merangsang ekonomi. Ternyata, kerajaan mengambil jalan tengah dalam hal ini.

DR Irwan Shah.
DR Irwan Shah.

Dari satu segi, pengeluaran Akaun 1 KWSP serta moratorium secara bersasar bagi kedua-dua langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengambil kira kesusahan rakyat.

"Dari segi yang lain pula, keperluan untuk merangsang ekonomi domestik juga dizahirkan melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan yang tinggi, iaitu sebanyak RM69 bilion pada tahun 2021, berbanding RM50 bilion pada tahun ini.

"Perkara ini seiring dengan jangkaan peningkatan ketara di dalam sektor pembinaan, iaitu sebanyak 13.9 peratus pada 2021 selepas menguncup sebanyak 18.7 peratus pada tahun ini," katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan juga menyatakan sejumlah RM15 bilion akan dibelanjakan untuk melaksana projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar ElektrikGemas-JB dan MRT3serta pelbagai projek impak tinggi.

"Secara keseluruhannya, pihak kerajaan sedang meletakkan keutamaan yang tepat, iaitu memerangi wabak COVID-19 sebagai perkara pokok, pada masa sama, cuba memastikan mereka yang terkesan dari sudut ekonomimenerima bantuan selayaknya," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata Belanjawan 2021 memberi tumpuankepada rakyat secara umumnya, pada masa sama mengekalkan kestabilan ekonomi makro.

Beliau berkata, peruntukan dan insentif diumumkan adalah yang terbaik Kerajaan Malaysia mampu lakukan di tengah-tengah ketidaktentuan dicetuskan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Katanya, belanjawan yang menyeluruh akan memantapkan usaha kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat impak negatif yang dicetuskan pandemik.

"Kami jangka tinjauan ekonomi Malaysia kekal stabil untuk jangka panjang dan Malaysia terus menjadi perhatian pelabur asing.

"Kerajaan membentangkan belanjawan yang sejajar dengan jangkaan pasaran dan boleh disifatkan sebagai belanjawan mesra pelabur dan prihatin rakyat," katanya.

Penganalisis Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Zulaikha Azmi, berkata secara keseluruhan Belanjawan 2021 menyeluruh dan bersifat pengembangan.

Berita Harian X