Ahad, 22 November 2020 | 12:02pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menerima Buku Belanjawan 2021 yang diserahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas pembentangan belanjawan di Parlimen. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menerima Buku Belanjawan 2021 yang diserahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas pembentangan belanjawan di Parlimen. - Foto BERNAMA

Utama kepentingan nasional, usah ambil kesempatan tekan kerajaan

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 sedang hangat dibahaskan di Dewan Rakyat selepas dibentangkan pada 6 November lalu. Ada yang menyokong dan memberi pendapat untuk menambah baik, ada pula yang mengkritik, malah meletakkan syarat jika kerajaan mahu sokongan mereka. Ada juga yang khuatir Belanjawan 2021 gagal meraih sokongan majoriti, sekali gus menjejaskan perancangan kerajaan dan juga perkhidmatan awam bagi tahun depan.

Wartawan BH, Suzalina Halid mendapatkan pandangan Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Presiden CUEPACS, Adnan Mat bagi mengulas isu berkenaan mengenai manfaat Belanjawan 2021 dan kesannya andai ia gagal diluluskan.

 Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

S. Sejauh mana Belanjawan 2021 mampu menjadi pelampung buat rakyat dalam mendepani keadaan sukar ketika ini?

J: Belanjawan 2021, terasnya khusus untuk menangani wabak COVID-19 dan kedua, memulihkan kedudukan ekonomi negara. Ini sangat jelas jika kita lihat melalui peruntukan belanja mengurus adalah melebihi belanja pembangunan. Kita lihat aspek pembangunan dikurangkan bagi memastikan sumber kewangan kerajaan ditumpukan kepada aspek menguruskan negara. Ia termasuk agensi yang sangat penting dan ditekankan dalam Belanjawan 2021 seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. KKM dipertanggungjawab memulihkan sektor kesihatan, antara keperluan diberikan peruntukan cukup besar. Kedua, membabitkan sektor ekonomi, sebab itu kita lihat kementerian berkaitan ekonomi mendapat peruntukan lebih besar kerana pertumbuhan ekonomi menjadi perkara pokok dalam usaha kerajaan memacu semula ekonomi negara kepada tahap lebih baik selepas dijejaskan oleh COVID-19. Boleh dikatakan Belanjawan 2021 ialah belanjawan untuk mengawal kesihatan rakyat melalui peruntukan besar kepada KKM dan kedua, memacu untuk membangunkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19 yang memaksa sektor ekonomi tidak dapat berjalan sementara. Kedua-dua penekanan dalam belanjawan ini boleh menampung dan menyediakan negara membuat persiapan rapi untuk mengawal dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Pada masa sama, membolehkan kedudukan ekonomi berada pada keadaan baik semula. Malah, bantuan secara terus adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi. Apabila bantuan kewangan disalurkan, masyarakat mempunyai sumber kewangan tambahan untuk dibelanjakan, maka ekonomi dan aktiviti boleh berjalan. Pemberian subsidi adalah sebahagian bentuk pakej rangsangan ekonomi untuk membolehkan rakyat membelanjakan wang dan apabila rakyat membelanjakan wang, aktiviti ekonomi dapat berjalan dengan rancak dan lancar. Justeru, kita lihat teras utama ialah memelihara keselamatan dan memulihkan ekonomi melalui pelbagai bantuan kepada golongan sasar. Walaupun berbentuk aspek kesejahteraan sosial, ia lebih kepada usaha kerajaan bagi membolehkan perbelanjaan dibuat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

S. Jika kita ikuti perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat, ada Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri meletakkan syarat jika mahu mereka menyokong Belanjawan 2021?

J: Perbahasan RUU adalah satu mekanisme bagi anggota Dewan Rakyat berbahas berkaitan sesuatu isu yang dibentangkan dalam belanjawan. Itu perkara biasa, namun jika meletakkan syarat untuk belanjawan diluluskan adalah tidak sesuai kerana sepatutnya dalam keadaan hari ini, terutama dengan titah Yang di-Pertuan Agong (supaya Belanjawan Negara disokong tanpa sebarang gangguan), apa juga pandangan perlu secara konstruktif untuk tujuan penambahbaikan RUU Perbekalan, tetapi tidak perlu letak syarat. Kalau kita lihat sebelum ini, pembangkang dalam mana-mana pembentangan belanjawan tidak pula meletakkan syarat. Ini (letak syarat) macam tidak sesuai, tidak ambil kira kedudukan semasa yang memerlukan kerjasama semua pihak. Bagi saya, elemen kepada kenyataan 'jika nak lulus perlu itu, perlu ini' adalah tindakan tidak mengambil kira sensitiviti semasa dan kepentingan kepada kelulusan belanjawan itu secara keseluruhan.

S. Bagaimana Prof melihat reaksi kerajaan dalam mendengar rintihan rakyat, khususnya berkaitan isu pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

J: Bagi saya, ketika kerajaan tidak membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1, ia ada asasnya. Kita harus tahu akaun itu untuk kegunaan ketika bersara. Masyarakat perlu faham asas itu. Kedua, apabila masyarakat dan ahli politik memberi pandangan berhubung isu itu, kerajaan akur. Mungkin dalam keadaan semasa, perlu ada pertimbangan bagi mengambil kira keperluan. Sebab itu, kita tengok KWSP benarkan pengeluaran dari Akaun 1, tetapi bentuk atau kaedahnya masih juga tidak dipersetujui. Kita melihat sikap fleksibiliti kerajaan pada hari ini sesuai dan sangat baik, mendengar pandangan pelbagai pihak, bukan sahaja rakyat, tetapi juga parti politik sama ada penyokong kerajaan mahupun pembangkang dan membuat tindakan penambahbaikan sesuai dengan pandangan diberikan. Walaupun kerajaan ada rasional tersendiri dalam membuat keputusan dasar, kerajaan tetap mengambil kira pandangan, sensitiviti dan kehendak mayarakat, maka perubahan pada sesuatu keputusan adalah baik kerana dilihat menggambarkan keprihatinan kerajaan dengan kehendak rakyat.

S. Ada juga pertikai peruntukan untuk COVID-19, termasuk dalam Tabung Wang COVID-19 tidak mencukupi?

J: Bagi saya, komen sedemikian itu bagus, kita kena lihat penyediaan belanjawan adalah berdasarkan input semua pihak terbabit dan berkaitan. Kalau peruntukan untuk KKM, ada input daripada KKM dan kementerian lain berkaitan kesihatan. Proses penyediaan belanjawan bermula dari awal tahun sehingga dua tiga bulan sebelum itu (pembentangan). Bukan mudah menyiapkannya, bukan hari ini nak bentang, semalam baru buat. Prosesnya lambat dan panjang, kerajaan perlu turun padang berdialog, berbincang dengan semua agensi. Mana-mana cadangan bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat melalui Belanjawan 2021, kerajaan perlu lihat dan tambah peruntukan sewajarnya dengan mengambil kira perkembangan semasa di negara ini. Ini cantiknya perbahasan belanjawan, sebab itu prosesnya panjang kerana Ahli Parlimen perlu melihat terperinci peruntukan yang perlu ditambah atau yang perlu difokuskan.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Datuk Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 6 November lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Datuk Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 6 November lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

S. Adakah kerajaan perlu kaji semula Belanjawan 2021 seperti diminta sesetengah pihak, khususnya dalam aspek peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)?

J: Bagi saya, kerajaan pasti akan melihat dan kaji semula. Kita kena ingat pembentangan belanjawan adalah cadangan kerajaan untuk dibahaskan anggota Dewan Rakyat sekiranya ada pandangan konstruktif, daripada wakil kerajaan atau pembangkang. Perkara itu akan diambil kira, ditambah baik dalam pelan atau draf akhir Belanjawan 2021. Bagi saya, Belanjawan 2021 satu asas atau entiti dinamik, bukan pasif. Maksudnya ia boleh berubah mengikut rasional daripada kerajaan. Kalau kerajaan rasa peruntukan terlalu besar berdasarkan cadangan yang dibentang, sama ada perlu ditambah atau dikurangkan, ia boleh dilakukan. RUU Perbekalan adalah dalam bentuk 'kasar', bukan dalam bentuk dasar, jadi mungkin kerajaan terlepas pandang. Apabila dibahaskan, ada diminta kerajaan kaji semula RUU itu untuk penambahbaikan, ia perkara biasa. Saya pasti teguran dan kritikan membina oleh anggota Dewan Rakyat akan diambil kira ketika draf akhir disediakan, begitu juga pandangan semua dan berdasarkan perbahasan. Ia amalan biasa dilakukan sebelum ini.

S. Pada pandangan Prof, apa kesannya jika bajet tidak diluluskan?

J: Ramai tidak sedar belanjawan adalah perbelanjaan mengurus negara untuk tahun depannya. Sebab itu, ada dua aspek, iaitu belanja pengurusan dan pembangunan. Belanja mengurus adalah untuk pengurusan negara dalam aspek membabitkan semua kementerian. Jadi sudah tentu jika belanjawan tidak diluluskan, kerajaan tidak ada peruntukan mentadbir dan mengurus negara pada tahun depan. Itu kepentingan belanjawan. Kita lihat Amerika Syarikat (AS) sebelum ini, pernah beberapa kali belanjawannya tertangguh sehingga melumpuhkan agensi kerajaan kerana tidak dapat beroperasi. Ketika itu, kerajaannya lumpuh (shutdown) kerana pihak kongres tidak meluluskan belanjawan hingga hari terakhir. Untuk konteks negara kita, kerajaan juga berisiko lumpuh, sekali gus tidak boleh menjalankan aktiviti atau membayar gaji pentadbiran awam. Sektor kerajaan akan lumpuh jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan. Semua agensi kerajaan tidak boleh beroperasi, semua bantuan tidak boleh berjalan. Contohnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang biasa beri bantuan kepada golongan sasar. Jika belanjawan tidak diluluskan, bantuan itu tidak boleh disalurkan. Rakyat yang patut terima bantuan, tidak dapat. Tiada subsidi, tiada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau segala bentuk peruntukan dalam bentuk bantuan terus. Justeru, anggota Dewan Rakyat tidak boleh pentingkan diri atau guna kesempatan kedudukan kerajaan yang mempunyai majoriti tipis untuk ugut kerajaan dengan pelbagai ugutan jika ingin mendapatkan sokongan (bagi meluluskan Belanjawan 2021). Tidak boleh guna belanjawan sebagai mekanisme untuk tidak percaya kepada kerajaan atau uji tahap kepercayaan kepada kerajaan. Tidak boleh ambil kesempatan keadaan genting ini. Ia adalah salah. Semua anggota Dewan Rakyat, tidak kira latar belakang perlu berganding bahu sokong kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui Belanjawan 2021.

S. Jangkaan Prof terhadap Belanjawan 2021, lulus atau gagal?

J: Jangkaan saya, belanjawan ini akan diluluskan kerana titah Yang di-Pertuan Agong supaya anggota Dewan Rakyat beri kelulusan. Justeru, ia akan diluluskan, tetapi mungkin ada isu termasuk permintaan dan ugutan kepada kerajaan. Saya harap Ahli Parlimen akur titah baginda untuk sokong sepenuhnya Belanjawan 2021. Jangan guna keadaan, ambil kesempatan sokongan majoriti tipis untuk tekan kerajaan dengan tidak langsung ambil kira pandangan awam bahawa kerajaan perlukan kerjasama semua pihak bagi menghadapi COVID-19 dengan tahap kesiapsiagaan terbaik dan pada masa sama, beri tumpuan memulihkan ekonomi negara supaya dapat berjalan dengan baik dan rancak. Masyarakat hilang kerja dapat bekerja semula selepas ekonomi baik, dapat meningkatkan kehidupan serta kelangsungan hidup apabila ekonomi berkembang. Justeru, semua Ahli Parlimen perlu berganding bahu, tidak kira pembangkang atau penyokong kerajaan, perlu sama-sama sokong atas dasar kepentingan nasional dan membelakangkan agenda kepentingan diri.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Adnan Mat

S. Apa pandangan tuan terhadap Belanjawan 2021, terhadap perkhidmatan awam sendiri dan kepada rakyat serta negara?

J: CUEPACS menzahirkan pendirian bahawa Belanjawan 2021 adalah belanjawan prihatin kepada rakyat. Ia beri keutamaan tertinggi kepada keseluruhan rakyat tanpa mengambil kira peringkat pendapatan. Tambahan pula keutamaan belanjawan kali ini sangat berfokus kepada golongan yang perlu mendapat perhatian khusus kerana terjejas dari konteks ekonomi ekoran pandemik COVID-19. Kita dapat melihat pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan diperkenalkan melalui Belanjawan 2021 seperti Bantuan Prihatin Rakyat, moratorium, i-Lestari dan i-Sinar KWSP serta lanjutan moratorium pinjaman bersasar. Dari sudut perniagaan, banyak skim pinjaman dan bantuan kredit mikro diberikan kepada usahawan kecil dan sederhana bagi merancakkan semula ekonomi dan pasaran buruh. Golongan berpendapatan tinggi juga tidak dilupakan apabila pelbagai pelepasan cukai baharu dan sedia ada diberi dengan lebih meluas. Mungkin ia tidak dapat memuaskan hati semua pihak, tetapi manfaat belanjawan ini dilihat mencakupi semua golongan rakyat, tidak kira berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi.

S. Namun, ada juga kekhuatiran bajet mungkin tidak dapat sokongan untuk diluluskan?

J: CUEPACS yakin dengan kematangan pemimpin kita yang berada di Dewan Rakyat, tidak kira parti mana, belanjawan dapat diluluskan kerana sudah tentu keutamaan mereka adalah rakyat. Setiap keputusan yang mereka buat perlu letakkan rakyat sebagai keutamaan tertinggi dan ia wajar kerana khidmat dan bakti mereka ketika dipilih melalui pilihan raya juga adalah untuk rakyat. Jika belanjawan tidak diluluskan kerana tidak dapat sokongan majoriti, ia tentu mendatangkan implikasi buruk dan berbahaya kepada rakyat. Dari sudut ekonomi, tentu pelabur luar akan bimbang dengan situasi ini dan takut membuat pelaburan baharu. Dalam hal ini, ramai memberi contoh apa berlaku di AS yang pernah menyaksikan beberapa kali belanjawan negara itu tidak diluluskan. Malaysia bukan negara besar seperti AS. Di AS, implikasinya mungkin sedikit dan boleh dipulihkan dengan pantas kerana kita sedar kekuatan ekonomi mereka. Walaupun AS boleh lumpuh kerana belanjawan tidak diluluskan, tempoh untuk bangkit lebih cepat kerana sumber ekonomi mereka besar dan luas. Malaysia belum setanding AS dari segi kekuatan ekonomi. Jika perkara ini (belanjawan tidak diluluskan) berlaku, kesannya lebih teruk, akibatnya akan dirasai terus oleh rakyat.

S. Kesan kepada penjawat awam, pentadbiran negara jika belanjawan tidak diluluskan?

J: Sudah tentu ia memberi kesan amat besar, apatah lagi segala peruntukan dalam perkhidmatan awam datang daripada belanjawan kerajaan. Perkhidmatan awam nadi kepada pentadbiran negara yang pada masa sama menjadi pemudah cara kepada urusan seharian rakyat dan operasi perniagaan. Peruntukan belanjawan untuk perkhidmatan awam sudah tentu tidak dapat digunakan apabila belanjawan tidak diluluskan, ibarat biar penjawat awam ke medan perang tanpa dibekalkan peralatan dan senjata mencukupi. Di AS, belanjawan persekutuan pernah gagal, akibatnya kakitangan awam terpaksa dicutikan bagi jangka masa agak panjang dan program kesihatan terganggu. Akibatnya, rakyat tidak dapat berurusan seperti biasa, malah turut memberi kesan negatif kepada ekonomi dan sosial. Jadi, Belanjawan 2021 sangat penting kepada kakitangan awam untuk memastikan segala perancangan diatur kementerian dan agensi kerajaan disalurkan seberapa segera. Sebarang kelewatan akan turut melewatkan program atau projek berimpak tinggi di lapangan. Jika tidak diluluskan, seluruh negara akan menerima kesannya. Kebimbangan CUEPACS ialah rakyat akan terima kesan sangat merugikan, khususnya di kala negara sedang berperang dengan COVID-19. Perkhidmatan untuk beberapa sektor tertentu di Malaysia masih lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Tidak semua sektor perkhidmatan diswastakan seperti di negara maju lain, antaranya kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Tiga sektor ini di bawah perkhidmatan kerajaan yang menerima peruntukan besar dalam belanjawan setiap tahun. Jika tiada peruntukan disalur untuk menggerakkan operasi dan perkhidmatan berkenaan, bagaimana keadaan dan situasi negara? Begitu juga sektor awam lain yang kebanyakannya berfungsi sebagai pemudah cara kepada urusan rakyat dan ekonomi negara. Jika perkhidmatan ini lumpuh, ia bukan sahaja menjadikan ekonomi negara terjejas, malah lebih dahsyat boleh mencetuskan keresahan dan ketidaktenteraman awam.

S. Jadi, apa sepatutnya dilakukan oleh semua Ahli Parlimen?

J: CUEPACS melihat penyelesaian masalah ini adalah jika semua pihak menjadikan faktor rakyat sebagai titik persefahaman untuk mengetepikan agenda politik masing-masing. Rakyat ketika ini begitu matang dalam menilai kepemimpinan wakil mereka di Dewan Rakyat. CUEPACS tidak mahu terbabit dalam pertikaian ini kerana sebagai wakil suara penjawat awam yang juga rakyat, kita mahu lihat negara kembali pulih seperti sedia kala, supaya semua pihak dapat menjalani kehidupan normal mereka semula. Sebab itu, CUEPACS tekankan supaya jadikan rakyat faktor untuk capai titik persefahaman dalam memastikan Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan mengikut perancangan digariskan.

S. Adakah kerajaan perlu kaji semula Belanjawan 2021 termasuk dalam aspek meluaskan pemberian elaun kepada semua petugas barisan hadapan?

J: Maksud belanjawan adalah anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk jangka waktu yang ditetapkan. Dalam konteks Belanjawan 2021, kerajaan sudah buat anggaran jumlah hasil akan dijana tahun hadapan berdasarkan pertimbangan ditetapkan. Daripada jumlah pendapatan itu, ia akan diagih untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Jika ada perubahan disebabkan kejadian luar jangka, ia tetap boleh dipinda pada masa akan datang mengikut keutamaan negara pada masa berkenaan. Sebelum belanjawan diluluskan, tiada masalah jika kerajaan mahu kaji semula jika ada keperluan berbuat demikian. CUEPACS sendiri berasakan ada beberapa penambahbaikan boleh dilakukan termasuk membabitkan elaun khas petugas barisan hadapan. Namun, tiada sebab belanjawan ini ditolak secara keseluruhannya. Ini kerana keutamaan kita ketika ini adalah memastikan rakyat dapat dibantu segera, ekonomi kembali pulih dan kes jangkitan COVID-19 dapat dikawal sebaik mungkin sebelum vaksin diperolehi.

S: Akhir sekali, apa harapan tuan berhubung Belanjawan 2021?

J: Sudah tentu harapan saya dan semua rakyat adalah Belanjawan 2021 memberi sinar dan harapan baharu, terutama kepada mereka yang terkesan supaya dapat menjalani kehidupan normal seperti sedia kala. Bagaimanapun, ia tidak akan dapat dicapai jika belanjawan tidak diluluskan. Walau apa juga pandangan terhadap belanjawan kali ini, CUEPACS harap keutamaan tertinggi diletakkan kepada rakyat. Carilah titik persefahaman yang boleh membantu negara dan rakyat keluar daripada kemelut serta kegelisahan ekonomi dan sosial ketika ini. Kita perlu bergerak ke hadapan dan perkara ini tidak akan tercapai jika titik persefahaman itu tidak dicari. Berbincang, berbahaslah dengan meletakkan harapan rakyat sebagai keutamaan dalam membuat segala keputusan kerana rakyat nadi kepada kerajaan dan negara. CUEPACS akan pastikan seluruh kakitangan awam berkhidmat bersungguh-sungguh bagi memastikan wawasan kemakmuran negara dapat dijayakan dan dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

Berita Harian X