Khamis, 19 November 2020 | 7:57pm
Gambar fail, Menteri Luar , Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar fail, Menteri Luar , Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hishammuddin alu-alukan prosiding PAC ke atas Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, positif dengan keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menjalankan prosiding berhubung isu pertukaran tanah (land swap) membabitkan Kementerian Pertahanan.

Beliau yang dihubungi BH, hari ini mengalu-alukan prosiding oleh PAC itu yang akan dimulakan pada 30 November ini.

"Saya alu-alukan. Saya pernah disiasat secara terperinci (berhubung isu itu) semasa saya (jadi) pembangkang tempoh hari," jawabnya secara ringkas.

Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Luar, dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh memaklumkan, pihaknya membuat keputusan akan mengadakan prosiding berhubung pertukaran tanah (landswap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan.

Katanya, PAC dimaklumkan antara isu yang ditemui adalah berkaitan kerugian kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.

Katanya lagi, ia membabitkan 16 kes pertukaran tanah membabitkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai berjumlah RM4.8 bilion.

Menurut Kah Woh, PAC memulakan prosiding dengan isu pertukaran tanah dan akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan selaku 'pengawal' kementerian bagi memberikan keterangan dan penjelasan itu ini pada 30 November ini.

Selain isu 'land swap', prosiding oleh PAC itu juga membabitkan dua isu lain membabitkan pelaksanaan Automated Enforcement System (AES) dari tahun 2012 hingga 2018 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet dari tahun 2011 hingga 2019 di bawah Kementerian Pendidikan.

Keputusan memulakan prosiding oleh PAC terhadap tiga isu itu adalah susulan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin lalu.

JKSTUPKK adalah jawatan kuasa yang diberikan mandat oleh kerajaan menyiasat kes-kes perolehan dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian daripada segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

Hishammuddin yang memegang jawatan Menteri Pertahanan daripada 2013 sehingga 2018 pernah dirakam keterangan selama tujuh jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu 'land swap' pada Jun tahun lalu.

Siasatan ke atas beliau susulan pendedahan Kementerian Pertahanan bahawa kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga 'land swap' membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997, pada Februari tahun lalu .

Berita Harian X