Khamis, 19 November 2020 | 2:14pm
Datuk Seri Najib Razak dan dua anak lelakinya, Datuk Mohd Nizar (tengah) dan Datuk Mohd Nazifuddin (kanan) merayu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan LHDN mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka. - Foto fail NSTP
Datuk Seri Najib Razak dan dua anak lelakinya, Datuk Mohd Nizar (tengah) dan Datuk Mohd Nazifuddin (kanan) merayu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan LHDN mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka. - Foto fail NSTP

Rayuan tunggakan cukai pendapatan RM1.74 bilion dimohon Najib, anak-anak disebut bersama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan dua anak lelakinya, merayu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka yang keseluruhannya berjumlah RM1.74 bilion.

Pengurusan kes bagi rayuan Najib, 67, membabitkan tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion, Datuk Mohd Nazifuddin, 37, (RM37.6 juta) dan Datuk Mohd Nizar, 42, (RM13.16 juta) akan disebut bersama-sama pada 16 Disember ini, melalui prosiding e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Sebelum ini, bekas perdana menteri dan anak-anaknya itu menfailkan rayuan masing-masing secara berasingan.

Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia selepas Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan penghakiman terus (tanpa perlu dibicarakan) dalam kes saman LHDN terhadap beliau pada 22 Julai lalu.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas mendapati jumlah tunggakan berkenaan perlu dikenakan dan dibayar oleh Najib sebagai hutang kepada kerajaan.

Ia juga memutuskan bahawa mengikut Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tidak boleh memenuhi permohonan Najib selaku defendan untuk mendengar rayuan bagi jumlah tunggakan yang dipertikaikan itu.

Bagaimanapun, Najib masih boleh mengemuka rayuan berhubung jumlah yang dipertikai itu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini turut membuat keputusan sama dalam kes saman LHDN terhadap Mohd Nazifuddin, selepas mendapati LHDN berjaya menunjukkan kes yang jelas dan sebaliknya, pembelaan defendan tidak bermerit.

Pada 25 September pula, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penghakiman terus LHDN dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan terhadap Mohd Nizar.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa tiada isu yang boleh dibicarakan dan tuntutan LHDN terhadap plaintif tidak terikat oleh tempoh masa.

Ia juga memutuskan bahawa mengikut undang-undang, seseorang individu yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran terlebih dulu, sebelum mengemuka rayuan kepada SCIT.

Berita Harian X