Rabu, 18 November 2020 | 6:25pm

Program TV Pendidikan menerusi NTV7 mulai Isnin ini

.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Media Prima Berhad (MPB) hari ini, bersetuju bekerjasama menyiarkan slot program TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV @NTV7 menerusi saluran NTV7.

Kerjasama KPM dan MPB ini adalah inisiatif tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang sebelum ini disiarkan menerusi saluran TV Okey, RTM dan saluran Tutor TV di Astro.

KPM dalam kenyataan medianya, berkata slot program TV Pendidikan ini merupakan usaha membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran, terutamanya ketika lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Inisiatif ini juga adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif, selain daripada pembelajaran dalam talian.

"Sebagai permulaan, slot TV Pendidikan menerusi saluran NTV7 akan mula bersiaran pada 23 November sehingga 31 Disember 2020," katanya.

KPM berkata, program ini akan disiarkan selama tiga jam pada setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu siaran adalah di antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, KPM dan MPB juga sedang dalam rundingan bagi meneruskan slot ini pada tahun 2021.

"Menerusi kerjasama ini, jumlah slot TV Pendidikan kini adalah sebanyak sembilan jam sehari dan di siarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat.

"Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM, www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan," katanya.

KPM yakin, slot program TV Pendidikan melalui kerjasama dengan MPB ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan lebih meluas, terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa ini.

Berita Harian X