Rabu, 18 November 2020 | 10:47am

PAC mula prosiding berkaitan 3 kementerian mulai 30 November

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menjalankan prosiding berhubung isu pertukaran tanah, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan 1BestariNet bermula 30 November ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata prosiding itu dibuat selepas pihaknya mendapat taklimat daripada Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin lalu.

"PAC membuat keputusan akan mengadakan prosiding berhubung pertukaran tanah (landswap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan, pelaksanaan AES dari tahun 2012 hingga 2018 di bawah Kementerian Pengangkutan dan 1BestariNet dari tahun 2011 hingga 2019 di bawah Kementerian Pendidikan.

"PAC berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengenai isu pertukaran tanah, Kah Woh berkata, PAC dimaklumkan antara isu yang ditemui adalah berkaitan kerugian kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.

Katanya, ia membabitkan 16 kes pertukaran tanah membabitkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai berjumlah RM4.8 bilion.

"Isu AES yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan pula, ia dilakukan secara 'outsourcing'. JKSTUPKK membuat siasatan terhadap kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

"Bagi projek 1BestariNet, JKSTUPKK melaporkan analisisnya terhadap kelemahan dan kecuaian daripada segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai," katanya.

Beliau berkata, PAC memulakan prosiding dengan isu pertukaran tanah dan akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan selaku 'pengawal' kementerian bagi memberikan keterangan dan penjelasan itu ini pada 30 November ini.

"PAC juga akan memanggil KSU berkaitan berhubung isu AES dan 1BestariNet. Selepas prosiding ini, PAC akan membuat keputusan sama ada akan memanggil saksi laiin yang terbabit dalam isu berkenaan," katanya.

Berita Harian X