Ahad, 15 November 2020 | 7:21pm
FMM yakin pemeteraian RCEP akan memberi kesan besar kepada syarikat tempatan daripada aspek akses pasaran, rantaian nilai baharu, aktiviti ekonomi dan rangkaian berkaitan bekalan serantau. - Foto hiasan NSTP
FMM yakin pemeteraian RCEP akan memberi kesan besar kepada syarikat tempatan daripada aspek akses pasaran, rantaian nilai baharu, aktiviti ekonomi dan rangkaian berkaitan bekalan serantau. - Foto hiasan NSTP

FMM yakin RCEP bantu pemulihan perdagangan, ekonomi pasca COVID-19

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) melihat pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan memberi kesan besar kepada syarikat tempatan daripada aspek akses pasaran, rantaian nilai baharu, aktiviti ekonomi dan rangkaian berkaitan bekalan serantau.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata walaupun Malaysia melaksanakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand melalui negara ASEAN, pemeteraian RCEP menyaksikan integrasi FTA ASEAN Campur 1 dalam struktur perdagangan serta pelaburan tunggal secara lebih bersepadu.

Dengan ini, beliau berkata, FMM menjadi pihak yang menyokong pelaksanaan RCEP sebagai penggerak utama bagi memulihkan sektor perdagangan dan ekonomi yang terkesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai. - Foto fail NSTP
Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai. - Foto fail NSTP

"Kami sentiasa menyatakan bahawa RCEP akan memberi sumbangan besar terhadap syarikat Malaysia untuk meningkatkan akses pasaran, mengambil bahagian dalam rantaian nilai baharu, meningkatkan aktiviti ekonomi dan memperkukuhkan rangkaian berkaitan rantaian bekalan di seluruh Asia.

"Kami menjangkakan di bawah RCEP, FTA ASEAN Campur 1 sedia ada akan diperkemas dan komited terhadap akses pasaran yang lebih besar akan dilakukan sementara jurang dalam perjanjian sedia ada juga dapat dikurangkan bagi mewujudkan kawasan ekonomi yang sangat kompetitif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas RCEP yang dimeterai hari ini oleh 15 negara anggota termasuk Malaysia.

Bagi syarikat tempatan, Thian Lai berharap RCEP dapat menarik syarikat asing yang berminat memasuki pasaran integrasi ASEAN kerana perjanjian itu akan meningkatkan ketelusan dalam perdagangan dan pelaburan.

Selain itu, katanya perjanjian perdagangan berkenaan juga akan memudahkan kerjasama teknikal dengan negara industri maju seperti Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

Menurut beliau, ia sekali gus dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mengembangkan produk dengan lebih baik dan kompetitif bagi mengupayakan peluang mereka menembusi rantaian bekalan global serta serantau terutama di tengah-tengah penularan COVID-19.

"Pandemik COVID-19 terus mengakibatkan korban besar di negara rantau ini. Dalam menyedari cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini angkara COVID-19, sangat mustahak untuk menstabilkan pengeluaran pembuatan sambil mengekalkan dan mempelbagaikan rantaian bekalan di rantau ini.

"Oleh itu, FMM yakin pemeteraian RCEP pada hari ini akan memberi sumbangan besar kepada pemulihan pasca wabak negara dengan mewujudkan rantaian bekalan yang tahan lasak.

"Setelah menandatangani RCEP, penting bagi Malaysia dan rakan negara ASEAN lain untuk memastikan ratifikasi oleh semua penandatangan pada awal 2021 sehingga RCEP dapat dikuatkuasakan pada tarikh paling awal supaya dapat memberi manfaat kepada perniagaan yang memerlukan ketika ini," katanya.

Berita Harian X