Jumaat, 13 November 2020 | 3:43pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto NSTP
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto NSTP

Agong, anakanda solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Afzan

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.

Seri Paduka yang berangkat tiba pada kira-kira 12.55 tengah hari ke masjid itu, diiringi dua anakanda baginda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Imam Besar masjid berkenaan, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile.

Seri Paduka kemudiannya menyertai jemaah masjid mendengar khutbah bertajuk 'Rahsia Sujud Dalam Solat' oleh Timbalan Imam Besar, Mohd Lokman Ahmad yang mengajak umat Islam melakukan sujud syukur ketika memperoleh kejayaan, di samping memperbanyakkan amalan yang boleh mendapat keredaan Allah.

Solat Jumaat kemudiannya dipimpin oleh Mohd Hafidz yang turut membaca Qunut Nazilah bagi memohon pandemik COVID-19 berakhir dan Pahang dielakkan daripada sebarang musibah atau bencana.

Usai solat, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah sebelum mencemar duli meninjau gerai di perkarangan masjid berkenaan dan membeli beberapa juadah jualan penduduk tempatan. – BERNAMA

Berita Harian X