Khamis, 12 November 2020 | 3:45pm

Pemberian baja sawah ikut keperluan tanah

KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan baja sedia ada kepada pesawah di bawah program Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) berdasarkan tiga formula pukal.

Timbalan Menteri I Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pemberian itu antara lain berpandukan keperluan tanah mengikut zon di Semenanjung, Kelantan dan Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

Selain itu, katanya, kementerian melalui Jabatan Pertanian Malaysia sedang melaksanakan program Pengurusan Nutrien Lokasi Spesifik (SSNM) atau dikenali sebagai pemprofilan tanah.

"SSNM adalah pembajaan diformulasikan mengikut kadar keperluan sebenar tanaman padi dan profil kesuburan tanah secara lokasi spesifik.

"SSNM adalah antara fokus utama pembaharuan kita memandangkan 40 peratus faktor pengeluaran tanaman padi adalah berkaitan pengurusan nutrien (pembajaan)," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai pemberian bantuan baja kepada pesawah.

Ahmad berkata, projek rintis SSNM akan dilaksanakan selama dua musim bermula musim 1/2021 di beberapa kawasan di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Pulau Pinang, berkeluasan 2,000 hektar.

"Ianya akan membabitkan empat formulasi baharu bagi setiap empat daerah dan empat peringkat aplikasi pembajaan, mengikut kadar pertumbuhan padi.

"Pembajaan melalui SSNM dijangka dilaksanakan di seluruh negara dan mampu mengoptimumkan penggunaan input pertanian serta meningkatkan hasil tanaman padi," katanya.

Berita Harian X