Sabtu, 7 November 2020 | 12:12pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melakukan pembentangan Belanjawan 2021 di hadapan 80 ahli parlimen yang lain bagi mengekang penularan COVID-19 pada sesi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto Aizuddin Saad
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melakukan pembentangan Belanjawan 2021 di hadapan 80 ahli parlimen yang lain bagi mengekang penularan COVID-19 pada sesi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto Aizuddin Saad

Belanjawan 2021: Semua rakyat dapat manfaat

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, adalah perancangan kewangan awam paling berani dengan sebahagian besar peruntukan adalah untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi.

Di sebalik kekangan hasil kerajaan berikutan kesan penularan pandemik COVID-19, Belanjawan 2021 disusun teliti dengan fokus untuk membantu rakyat mendepani cabaran semasa, khususnya golongan yang terkesan serta petugas di barisan hadapan.

Bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' dianggap oleh sebahagian besar ahli ekonomi sebagai belanjawan paling kritikal dan amat diperlukan susulan negara ketika ini berdepan krisis berkembar terburuk dihadapi Malaysia, iaitu kesihatan dan ekonomi.

Ahli ekonomi secara umumnya berpendapat Belanjawan 2021 adalah menyeluruh dan meliputi segenap lapisan masyarakat, antaranya isi rumah B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang, belia, wanita, peniaga kecil dan besar.

Langkah menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional pada Julai lalu, kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah daripada RM908 sebelum ini, memperlihatkan asas bilangan golongan itu adalah lebih meluas dan lebih ramai mendapat bantuan.

"Kerajaan memutuskan Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang mengembang atau expansionary. Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan bagi 2021 adalah perbelanjaan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion," kata Tengku Zafrul ketika membentangkan belanjawan sulungnya.

Ia digarap berasaskan unjuran kutipan hasil kerajaan bagi 2021 yang dijangka meningkat kepada RM236.9 bilion, lebih tinggi berbanding RM227.3 bilion pada 2020.

Daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan itu, kerajaan bercadang memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19, manakala baki RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

Mengambil kira anggaran berkenaan, Tengku Zafrul berkata, defisit fiskal bagi tahun hadapan diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, lebih rendah berbanding 6.0 peratus pada tahun ini.

"Pada tahun 2021, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus," kata beliau.

KDNK negara pada tahun ini dengan mengambil kira persekitaran semasa dianggar menyusut sebanyak 4.5 peratus.

Dalam pada itu, kerajaan juga menjangka eksport kasar negara kembali berkembang pada kadar 2.7 peratus berbanding penurunan 5.2 peratus pada 2020.

Kadar inflasi pula dijangka kembali stabil pada kadar 2.5 peratus dan kadar pengangguran diunjur susut kepada 3.5 peratus pada 2021 berbanding 4.2 peratus tahun ini.

Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pakej rangsangan sebelumnya iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA dan KitaPihatin diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Selain pendekatan lebih bersasar, kerajaan juga akan mengimbangi kemapanan kewangannya, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat -nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan melalui belanjawan ini," katanya.

Bagi mencapai matlamat Kesejahteraan Rakyat, kerajaan menggariskan empat strategi iaitu Pandemik COVID-19 dan Kesihatan Awam; Memelihara Kebajikan Golongan Rentan; Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan dan Mengutamakan Agenda Keterangkuman.

"Kesejahteraan rakyat akan dimanifestasikan secara holistik. Memahami permasalahan dan keresahan rakyat ialah perkara asas. Kesejahteraan rakyat kekal kepentingan paling utama kerajaan," kata Tengku Zafrul.

Menerusi strategi ini, sejumlah RM1 bilion lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19.

Dalam strategi kedua, iaitu Memelihara Kebajikan Golongan Rentan atau golongan mudah terjejas termasuk orang kelainan upaya, warga emas dan golongan B40, menyaksikan beberapa program pemberian tunai ditambah.

Sementara itu, seperti diminta ramai, kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 dibenarkan secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk tempoh 12 bulan.

Menerusi strategi ketiga iaitu Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan susulan peningkatan tinggi kadar pengangguran, bagi tahun 2021, kerajaan menyediakan hampir RM28 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif.

Di bawah strategi keempat iaitu Mengutamakan Agenda Keterangkuman, agenda Bumiputera terus mendapat keutamaan kerajaan dengan pelbagai usaha bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.

Dalam strategi kelima, iaitu Menjamin Kesejahteraan Hidup Rakyat, kerajaan menekankan Kesalinghubungan Digital; Akses kepada Pendidikan Berkualiti; Meningkatkan Pemilikan Rumah; Kemudahan Pengangkutan; Pertahanan Negara dan Ketenteraman Awam.

Perniagaan adalah nadi ekonomi negara, susulan itu kerajaan menetapkan Matlamat Kedua Belanjawan 2021 iaitu Kelangsungan Perniagaan.

"Fokus kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah akses perniagaan," kata Tengku Zafrul.

Antara strategi dan langkah di bawah matlamat ini termasuk langkah-langkah memacu Pelaburan dalam Sektor Utama; Penambahbaikan Persekitaran Perniagaan; Inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi serta Barangan Buatan Tempatan.

Menerusi matlamat ketiga iaitu Ketahanan Ekonomi, kerajaan menggariskan empat strategi iaitu, Belanjawan Pengembangan; Agenda Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Memperkasa Peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Masyarakat Sivil, Menjamin Kelestarian Sumber dan Perkhidmatan Awam.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata kekuatan belanjawan kali ini terletak pada penumpuannya dalam mengurangkan derita rakyat akibat daripada impak pandemik COVID-19.

"Bantuan dan insentif diberikan kepada golongan rentan juga adalah keputusan tepat, terutamanya apabila garis kemiskinan (PGK) yang dikemas kini," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata Belanjawan 2021 jelas memberi tumpuan dalam mengekalkan kestabilan ekonomi makro.

"Peruntukan dan insentif yang diumumkan adalah terbaik yang mana Kerajaan Malaysia mampu lakukan di tengah-tengah ketidaktentuan yang dicetuskan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

"Belanjawan yang menyeluruh akan memantapkan usaha kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat impak negatif dicetuskan pandemik," katanya.

MIDF Research pula berpandangan, pertambahan perbelanjaan pembangunan (DE) adalah positif memandangkan keperluan untuk memperkasa ekonomi dan memberikan kualiti kehidupan serta persekitaran kehidupan yang lebih baik bagi rakyat.

Tengku Zafrul mengakhiri pembentangan belanjawan dengan keyakinan bangsa Malaysia adalah bangsa yang berani, kuat dan bila sepakat mampu melakukan yang luar biasa untuk bangkit daripada musibah yang melanda negara.

"Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar. Jika sebelum ini kita pernah bersama, sebulat suara dengan penubuhan Kumpulan Wang COVID-19. Adalah harapan ramai, belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat," katanya dengan harapan Belanjawan 2021 akan diluluskan sebulat suara oleh semua Ali Parlimen akhir bulan ini.

Berita Harian X