Jumaat, 6 November 2020 | 11:43pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA

Belanjawan 2021: PDRM hargai peruntukan RM17 bilion untuk ketenteraman awam

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan RM17 billion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi sektor ketenteraman awam dalam Belanjawan 2021.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, bantuan khas RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah dan RM300 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menghargai khidmat bakti penjawat awam kepada negara.

"Peruntukan sebanyak RM310 juta bagi Program Perumahan Penjawat Awam yang diumumkan turut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjawat awam keseluruhannya.

"Di samping itu, pemberian RM500 secara 'one-off' (sekali bayar) kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara juga satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan ke atas pengorbanan serta bakti mereka selama ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, peruntukan RM20 juta bagi tujuan memperkasakan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti yang membabitkan pengambilan lebih 500 bekas tentera dan polis serta Orang Asli membuktikan kerajaan komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan memelihara khazanah negara.

"PDRM akan memastikan peruntukan diberikan kerajaan dalam belanjawan kali ini dioptimumkan secara berhemah demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021, mengumumkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing diperuntukkan RM16 billion dan RM17 billion.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah dan RM300 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen.

Yang turut diumumkan adalah bayaran RM500 secara 'one-off' kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Berita Harian X