Jumaat, 6 November 2020 | 9:23pm
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Sungai Manila, di Sandakan. - Foto fail NSTP
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Sungai Manila, di Sandakan. - Foto fail NSTP

Belanjawan 2021: Peruntukan perumahan golongan berpendapatan rendah lonjak semula sektor perumahan

Oleh Suzalina Halid

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1.2 bilion bagi pembinaan lebih banyak perumahan kepada kumpulan isi rumah B40 dijangka berupaya merangsang semula pertumbuhan sektor perumahan yang berdepan cabaran tahun ini.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Soam Heng Choon, berkata fokus kerajaan yang mahu menyediakan lebih banyak kediaman berkualiti dan selesa kepada B40 juga dijangka memberi lebih kuasa kepada golongan sasar untuk mendapatkan rumah impian mereka.

"Insentif ini adalah langkah tambahan yang diberikan selain yang diumumkan sebelumnya melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun lalu.

"REHDA menyambut baik semua inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perumahan kepada kumpulan B40.

"Kami amat berterima kasih kerana melalui Belanjawan 2021 ini, kerajaan turut memasukkan cadangan kami, sekali gus membuktikan komitmen mereka dalam mendengar kehendak pemain industri dan rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Heng Choon, berkata pihaknya percaya dengan peruntukan itu juga ia akan memanfaatkan lebih 200 industri hiliran yang terbabit dalam sektor perumahan.

Katanya, peruntukan bagi pelbagai program perumahan membabitkan Program Perumahan Rakyat, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Rumah Mesra Rakyat dan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) mampu memberi kelegaan kepada golongan sasar.

"Dengan Belanjawan 2021 ini, REHDA berharap ia mampu meneruskan peranan kami untuk meningkatkan industri dan ekonomi ke tahap lebih tinggi," katanya.

Mengenai skim sewa beli (rent-to-own) membabitkan 5,000 kediaman PR1MA, Heng Choon berkata, pihaknya berharap ia dapat diperluaskan supaya pembeli di pasaran terbuka juga dapat memanfaatkannya.

Katanya, skim terbabit sudah dicadangkan kepada kerajaan sebelum ini bagi membantu golongan yang belum bersedia khususnya dari aspek kewangan untuk membeli rumah terutama mereka yang baharu bekerja.

Beliau berkata, pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 juga memberi manfaat kepada rakyat yang sukar memiliki rumah khususnya dalam kumpulan B40 dan M40.

Berita Harian X