Jumaat, 6 November 2020 | 7:13pm
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor

Belanjawan 2021: Kedah harap diberi keutamaan laksana projek infra luar bandar

ALOR SETAR: Kerajaan negeri berharap Kedah berada dalam senarai utama pelaksanaan projek pembangunan infra luar bandar berjumlah RM2.7 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi, berkata ini termasuk projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang disebut secara khusus bagi memastikan masalah bekalan air negeri dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Jelasnya, pada masa sama kerajaan Pusat juga perlu membantu menaik taraf jalan ban di kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) berikutan ia termasuk di kawasan luar bandar.

"Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini adalah bersifat inklusif yang bermatlamat membawa kesejahteraan bagi semua kelompok masyarakat.

"Kerajaan juga dilihat berusaha mengurangkan beban rakyat dalam menangani impak pandemik COVID-19 yang belum tentu bila akan berakhir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Sanusi berkata, pihaknya turut tertarik dengan banyak penambahbaikan kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dijenamakan semula menjadi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

"Langkah kerajaan menerima pakai cadangan pembangkang dalam menyediakan usul belanjawan kali ini, wajar dipuji dan amat kena pada masanya.

"Belanjawan 2021 dengan nilai RM322.5 bilion dianggap sebagai belanjawan terbaik dan diperlukan untuk memulihkan semula ekonomi negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan ketika ini adalah masa untuk semua pihak bekerja keras mencapai matlamat pemulihan negara pada tahun hadapan.

Berita Harian X