Jumaat, 6 November 2020 | 6:58pm
Bantuan pembiayaan mikro disediakan untuk membantu usahawan. FOTO NSTP (gambar hiasan)
Bantuan pembiayaan mikro disediakan untuk membantu usahawan. FOTO NSTP (gambar hiasan)

Belanjawan 2021: Kerajaan sedia RM1.2 bilion pembiayaan kredit mikro

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion melalui beberapa institusi kewangan terpilih.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia adalah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan institusi kewangan lain.

"Ini termasuk tambahan sebanyak RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara (BNM) bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

"Program iTEKAD yang dilancarkan pada Mei lalu dengan menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro akan memperkasa usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari.

"Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, menerusi PUNB pula, RM230 juta akan disediakan sebagai pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Beliau turut berkata, kerajaan akan meningkatkan jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan sehingga RM10 bilion daripada RM25 bilion jaminan ketika ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM2 bilion akan diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

"Bagi syarikat korporat yang terbabit dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak dan gas serta aeroangkasa, jaminan bernilai RM3 bilion pula dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.

"Skim ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2021 dengan terma dan syarat yang ditambah baik," katanya.

Berita Harian X