Jumaat, 6 November 2020 | 5:58pm

Belanjawan 2021: Pembiayaan mikro kredit, Ar-Rahnu Biznita perkasa golongan wanita

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha memperkasa golongan wanita diberi perhatian dalam Belanjawan 2021 sebagai tanda kerajaan amat menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas akan disediakan melalui AgroBank, MARA dan Tekun Nasional (TEKUN).

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyediakan RM50 juta di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

"Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe.

"Kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak kerajaan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyedari kepentingan dalam menangani isu keganasan rumah tangga, justeru inisiatif dikenali sebagai Pusat Sokongan Sosial Setempat akan disediakan, membabitkan peruntukan RM21 juta.

"Pusat ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutama dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, perceraian dan penderaan," katanya.

Gambar hiasan. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Gambar hiasan. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Berita Harian X