Jumaat, 6 November 2020 | 4:41pm

Ekonomi global diunjur kembali pulih 2021

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi global diunjur kembali meningkat dengan kukuh pada 2021, didorong oleh permintaan domestik dan eksport yang mantap dalam kalangan negara maju dan negara yang berkembang pesat dan negara membangun (EMDE).

Bagaimanapun risiko kepada ekonomi global masih berterusan apabila pertumbuhan berkemungkinan terjejas akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang kembali memuncak, ketidakpastian hasil Brexit dan ketegangan geopolitik yang meluas, demikian menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, hari ini.

Menurut laporan itu, harga minyak yang berterusan rendah dan krisis perubahan iklim yang semakin serius juga berkemungkinan menggugat pemulihan.

"Selain itu, ruang fiskal yang terhad dan hutang kerajaan yang meningkat secara mendadak juga boleh mengekang pertumbuhan," katanya.

Bagaimanapun ekonomi global dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan yang positif dengan pelaksanaan langkah fiskal dan monetari untuk mempertingkat keyakinan pengguna dan pelabur.

Laporan itu turut menyebut bahawa kejayaan dalam pembangunan vaksin COVID-19 yang berkesan dan mudah di akses, di samping keberkesanan untuk membendung penularan pandemik berkenaan dalam tempoh terdekat, dijangka terus merangsang pertumbuhan global.

"Walaupun pandemik ini memberi cabaran dari pelbagai aspek, terutama dalam meluaskan jurang sosioekonomi sedia ada, pandemik COVID-19 juga membuka peluang kepada semua negara untuk menginstitusikan pembaharuan ke arah mempercepat proses digitalisasi dan mencapai pertumbuhan mampan," katanya.

Menurut laporan itu, ekonomi global dijangka menguncup sebanyak 4.4 peratus tahun ini berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada 2019, disebabkan oleh prestasi ekonomi tidak memberangsangkan dalam kalangan negara maju dan EMDE, berpunca terutamanya daripada kesan negatif pandemik itu.

Sebaliknya, ia berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam kalangan negara maju dan EMDE dijangka memacu pertumbuhan global sebanyak 5.2 peratus pada 2021.

"Pada 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara maju dijangka melonjak sebanyak 3.9 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan aktiviti perdagangan yang meningkat. Pertumbuhan ekonomi AS diunjur berkembang pesat sebanyak 3.1 peratus disokong oleh pemulihan dalam penggunaan swasta dan pelaburan yang mengalakkan," katanya.

Sementara itu, KDNK EMDE pada 2021 dijangka melonjak sebanyak 6.0 peratus dipacu oleh permintaan domestik yang mantap dan eksport yang lebih tinggi.

"China dijangka meneraju pemulihan di rantau ini dengan pertumbuhan pesat sebanyak 8.2 peratus. Selain itu, ekonomi India diunjur melonjak sebanyak 8.8 peratus didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh," kata laporan itu.

KDNK ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam) dijangka meningkat semula sebanyak 6.2 peratus disokong oleh penggunaan domestik yang teguh, pelaburan lebih tinggi dan persekitaran perdagangan yang menggalakkan. -BERNAMA

Berita Harian X