Jumaat, 6 November 2020 | 2:21am
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menyampaikan bantuan makanan asas secara pandu lalu kepada pemandu teksi, semalam. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menyampaikan bantuan makanan asas secara pandu lalu kepada pemandu teksi, semalam. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Penyediaan Akta Pembangunan Kampung Baru dalam peringkat akhir

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan kini pada peringkat akhir penyediaan Akta Pembangunan Kampung Baru.

Akta itu khusus bagi menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) untuk pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata bawah akta baharu itu kelak, terdapat beberapa peruntukan tertentu yang akan menaikkan lagi nilai tanah di Kampung Baru, selain aspek kepentingan kaum Melayu di kawasan itu.

"Akta MAS yang dibuat pada 1900 sudah tidak lagi boleh dipakai sejak wujudnya Wilayah Persekutuan dan kekosongan ditinggalkan akta itu perlu ditangani.

"Justeru, kementerian bersetuju (menyediakan akta baharu) dan kita sudah memasuki peringkat akhir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan makanan asas secara pandu lalu kepada 40 pemandu teksi di sekitar Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Pada 6 Jun lalu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) memaklumkan, MAS tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.

Katanya, ia berdasarkan pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara dan surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan kepada Lembaga Pentadbiran MAS bertarikh 13 Februari lalu.

PKB menjelaskan, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, 2 Disember tahun lalu, yang menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa.

Dalam pada itu, Annuar berkata, enam daripada 44 parcel di Kampung Baru sudah boleh dibangunkan selepas mendapat persetujuan penduduk, mengikut perancangan pembangunan organik, iaitu secara berperingkat.

Pada masa sama, katanya, semua pembangunan prasarana utama akan dimulakan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), seperti menaik taraf jalan dan infrastruktur yang mampu menaikkan lagi nilai tanah.

"Apabila ada akta baharu, nilai tanah akan lebih tinggi dan banyak pelabur datang. Kita tidak mahu pembabitan orang tengah yang ingin menjual tanah Kampung Baru kerana keutamaan kita ialah pemilik turut serta.

"Berdasarkan kajian, kalau kena caranya, bukan RM1,000 bagi satu kaki persegi tanah di kawasan ini kerana di seberang sungai, orang bayar hingga RM2,000 ke RM3,000. Jadi, saya nak jadikan tanah Kampung Baru dapat dijual dalam harga pasaran sebenar, sekali gus menguntungkan pemilik," katanya.

Berhubung desakan pembangkang supaya Majlis Menteri Wilayah diwujudkan kembali pula, Annuar berkata, beliau sedang mengkaji cadangan itu.

"Masalahnya, mereka bercakap kepada media tetapi apabila saya periksa di pejabat saya, tiada sebarang surat atau cadangan daripada mereka. Setiap kali sidang Parlimen, mereka membuat publisiti, jadi saya lihat macam ada 'nakal' sikit.

"Saya melihat perkara ini dari sudut yang baik. Maka, saya sudah beri arahan kepada Ketua Setiausaha kementerian untuk membuat kajian kerana Majlis Menteri itu sebelum ini dibuat untuk wakil rakyat kerajaan bawah Pakatan Harapan (PH) tetapi bagi saya, semua wakil rakyat perlu dilayan sama rata, selain turut perlu membabitkan Labuan dan Putrajaya, bukan Kuala Lumpur saja," katanya.

Berita Harian X