Jumaat, 6 November 2020 | 12:01am

COVID-19: 73 institusi pendidikan di Dungun, Kerian, Port Dickson ditutup

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Dungun, Terengganu; Kerian, Perak; dan Port Dickson, Negeri Sembilan, akan ditutup mulai 7 hingga 20 November ini.

KPM dalam satu kenyataan, malam tadi, memaklumkan bahawa penutupan itu membabitkan 73 institusi pendidikan di seluruh daerah Dungun, Kerian (91) dan Port Dickson (67).

Ia meliputi sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian itu.

Keputusan itu dibuat susulan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan tiga mukim, iaitu Mukim Rasau di Dungun, Mukim Parit Buntar, Kerian; dan Mukim Jimah, Port Dickson.

"Sekolah dan institusi berasrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

"Bagaimanapun, pelajar yang ingin kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu akan berada bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah serta institusi," menurut kenyataan berkenaan.

Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

Pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Senarai institusi pendidikan yang ditutup di ketiga-tiga daerah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal rasmi KPM: www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi KPM.

Manual PdP di rumah juga boleh dimuat turun di portal itu. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X