Rabu, 4 November 2020 | 11:52pm

COVID-19: Sekolah, institusi pendidikan di daerah Barat Daya ditutup 6 hingga 20 November

GEORGETOWN: Kesemua 56 sekolah dan institusi pendidikan termasuk sekolah swasta, di daerah Barat Daya, dekat sini, ditutup mulai 6 hingga 20 November ini selepas kawasan itu disahkan sebagai Zon Merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, malam ini, memaklumkan bahawa pihaknya mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Barat Daya dan memutuskan untuk menutup sekolah dalam usaha membendung penularan wabak itu.

"Kesemua 56 institusi pendidikan itu meliputi 39 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah bawah KPM, sebuah kolej vokasional serta empat sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Senarai institusi pendidikan yang ditutup itu dilampirkan bersama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi.

"Untuk makluman, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM: www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi KPM," menurut kenyataan itu.

Sekolah dan institusi pendidikan mempunyai asrama juga ditutup, justeru ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa ataupun yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah jagaan warden asrama.

Menurut kenyataan itu, keperluan makanan dan minuman pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh tidak pulang ke rumah mereka, akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi terbabit.

Murid atau pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

"Manual PdP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Katanya, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara dan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara serta KKM, manakala sebarang makluman berhubung penutupan sekolah serta institusi pendidikan akan dibuat dari semasa ke semasa. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X