Rabu, 4 November 2020 | 6:21pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

163 program vokasional dapat akreditasi penuh setakat Oktober 2020

KUALA LUMPUR: Sebanyak 163 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dalam pelbagai bidang telah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata program berkenaan telah disenaraikan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan mendapat akreditasi penuh daripada badan penarafan seperti MQA dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).

"Program-program yang telah disenaraikan dalam Daftar Kelayakan Malaysia adalah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan pihak berkuasa melantik seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

"Justeru, mana-mana siswazah daripada program yang disenaraikan itu layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam atau melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi di dalam mahupun luar negara," katanya dalam ucapan sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab usul Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai 'Isu Akreditasi Penuh Oleh MQA Kepada Program-Program Yang Ditawarkan Di Kolej Vokasional'.

Sementara itu berhubung permohonan Akreditasi Penuh bagi 257 program DVM, Kolej Vokasional, Noraini berkata, MQA hingga hari ini belum menerima permohonan itu daripada Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) untuk diproses.

"Berdasarkan piagam MQA, proses penilaian ini akan mengambil masa sembilan minggu bagi setiap program. Tempoh itu diperlukan bagi membolehkan semua kriteria dapat dinilai dengan teliti dan ia sudah dipatuhi sepenuhnya oleh pemohon.

"Penilaian bagi semua permohonan Akreditasi Penuh program DVM yang lengkap diterima, akan diproses segera setelah diterima oleh MQA mengikut piagam yang ditetapkan," katanya.

Jelas beliau, proses penilaian akreditasi program akademik yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dilaksanakan bagi memastikan standard dan kualiti program itu berada pada tahap yang tinggi.

Dalam konteks penilaian akreditasi program DVM yang ditawarkan oleh kolej vokasional di seluruh negara, Noraini berkata kementerian melalui MQA sentiasa bekerjasama rapat dengan BPLTV, Kementerian Pendidikan dalam menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul semasa proses penilaian. – BERNAMA

Berita Harian X