Rabu, 4 November 2020 | 6:11pm
Wartawan di Bangunan Perdana Putra mengikuti sidang media oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sidang video dari kediamannya hari ini.- Foto PMO
Wartawan di Bangunan Perdana Putra mengikuti sidang media oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sidang video dari kediamannya hari ini.- Foto PMO

Kerajaan ambil pendekatan berbelanja secara berhemah

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan berbelanja secara berhemat terutamanya bagi perbelanjaan mengurus dan pada masa sama mengoptimumkan pendapatan daripada pelaburan dan syarikat milik kerajaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan menghadapi cabaran fiskal berikutan kejatuhan ketara pendapatan cukai bagi tahun 2020 dan 2021, ekoran krisis COVID-19 itu.

Harga minyak yang rendah turut menjejaskan pendapatan kerajaan.

"Bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain di seluruh dunia turut berhadapan masalah yang serupa, tetapi sekiranya kita perlu berbelanja untuk membantu rakyat, kita harus mencari jalan untuk melakukannya," kata beliau dalam temu bual bersama Bernama dan stesen televisyen tempatan, menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

Matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan sumber mencukupi bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.

"Kita tidak mahu rakyat menderita," kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kerajaan membenarkan defisit fiskal meningkat ke paras 6.0 peratus bagi tahun 2020, demi membiayai perbelanjaan tambahan kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dan langkah pakej rangsangan ekonomi, PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

Kerajaan juga sudah menaikkan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada had statutori 55 peratus kepada 60 peratus sekarang, yang memberikan banyak ruang untuk kerajaan melaksanakan belanjawan pengembangan.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan bahawa, sebaik sahaja ekonomi kembali kukuh dan aliran pendapatan kerajaan semakin baik, kerajaan akan mengukuhkan disiplin fiskalnya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X