Rabu, 4 November 2020 | 2:49pm

Malindo Air tak salah guna faedah PERKESO

KUALA LUMPUR: Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) menafikan syarikat itu menyalahgunakan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebaliknya semua bantuan diterima diagihkan sepenuhnya kepada kakitangannya.

Malindo Air dalam kenyataan hari ini, berkata di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), syarikat itu menerima berjumlah RM1.267 juta yang dikreditkan PERKESO pada April lalu dan diagihkan kepada 2,112 kakitangannya, Mei lepas.

Kenyataan itu berkata, sebanyak RM1.487 juta pula diterima, akhir Jun lalu dan dikreditkan kepada 2,478 kakitangannya.

Malindo Air turut memaklumkan selepas PERKESO menghentikan ERP dan menggantikannya dengan Program Subsidi Upah (PSU), hanya 196 kakitangan mendapat manfaat itu.

Kenyataan itu berkata, syarikat terbabit menerima RM235,200 untuk Jun dan Julai lalu yang hanya dapat dibayar PERKESO pada akhir Ogos serta September lepas.

Katanya, Malindo Air memastikan pekerja yang mendapat manfaat daripada kedua-dua skim, dikekalkan lebih tiga bulan sesuai dengan peraturan ditetapkan.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, menegaskan keuntungan purata bulanannya ialah RM200 juta yang digunakan untuk membayar 5,000 kakitangannya, iaitu sebanyak RM40 juta sebulan.

Namun, Mushafiz Mustafa berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan syarikatnya terpaksa menghentikan operasi hampir semua pesawatnya sejak Mac, sekali gus menjejaskan kewangan dengan pendapatan semasanya hanya 7.5 peratus daripada situasi pra-pandemik .

Disebabkan penyusutan besar aliran tunainya berikutan pandemik itu, Malindo Air perlu melakukan pengurangan kos besar-besaran untuk kekal bertahan.

Malindo Air mengurangkan pesawatnya sebanyak 50 peratus dengan memindahkan 20 pesawat, sekali gus menyebabkan syarikat dapat melakukan penjimatan kira-kira RM20 juta.

Malah, syarikat itu terpaksa memohon penangguhan dan merundingkan semula kontrak dengan sejumlah besar penyedia perkhidmatan termasuk penyewa pesawat dan lapangan terbang.

Malindo Air menegaskan walaupun mengambil banyak langkah seperti Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kepada 349 kakitangannya dan cuti tanpa gaji jangka pangjang sukarela (LTU) bagi 439 juruterbang dan krew kabin, syarikat itu masih belum nampak kemungkinan memulakan operasi seperti asal.

Sebaliknya, syarikat itu terpaksa memberhentikan lagi 1,861 kakitangan untuk memastikan ia terus beroperasi.

Berita Harian X