Selasa, 3 November 2020 | 4:17pm
Tunggu Ketua Menteri Sarawak umum tarikh PRN-12 -Alexander. FOTO NSTP
Tunggu Ketua Menteri Sarawak umum tarikh PRN-12 -Alexander. FOTO NSTP

GPS belum tetap tarikh PRN-12

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memutuskan tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata perkara itu belum dibincangkan kerana kerajaan negeri sedang menumpukan usaha menangani penularan COVID-19.

"Setakat ini, Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS tidak bermesyuarat bagi membincangkan mengenai PRN-12," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini yang PRN-12 mungkin diadakan pada Januari atau Mac tahun depan walaupun negeri sedang berhadapan penularan COVDI-19.

Menjelas lanjut, Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, GPS tidak merancang mengadakan PRN-12 dalam waktu terdekat kerana bimbang dengan penularan COVID-19.

"Kerajaan GPS sangat prihatin terhadap peningkatan jangkitan COVID-19 ketika ini dan dengan serius menangani COVID-19 demi keselamatan dan nyawa penduduk di Sarawak," katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai bertenang dan menunggu pengumuman rasmi daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai tarikh PRN-12.

Berita Harian X