Selasa, 3 November 2020 | 4:10pm
Didi Nadhirah dan suami, Mohd Rashidi Ramli (kiri) serta rakan mereka Nabiel Haniff mengusahakan kedai makan, Dhapor Pramugari di Bangi Square Food Court. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Didi Nadhirah dan suami, Mohd Rashidi Ramli (kiri) serta rakan mereka Nabiel Haniff mengusahakan kedai makan, Dhapor Pramugari di Bangi Square Food Court. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Geran khas segarkan Dhapor Pramugari

KAJANG: Jika dulu kerjaya pramugari dan pramugara membolehkan mereka 'terbang' ke serata dunia, namun semuanya itu tinggal kenangan berikutan pandemik COVID-19, dan natijahnya menyebabkan semua yang terjejas perlu bermuhasabah dan bangun membina kendiri dan menerokai bidang baharu demi kelangsungan hidup.

Ini berikutan sempadan antarabangsa negara masih ditutup, memaksa Didi Nadhirah Abd Hamid, 29, dan suaminya, Mohd Rashidi Ramli, 33 bersama rakan seperjuangan, Nabiel Haniff, 29 mencuba nasib berniaga dan mengusahakan gerai makanan Dhapor Pramugari.

Mereka yang sebelum ini menjual makanan secara dalam talian bagaimanapun beralih ke kedai fizikal kerana mahu menu berkonsepkan laksa itu tidak bersifat sementara dan boleh dinikmati di gerai yang diusahakan dua bulan lalu di Bangi Square Food Court dekat Jalan Reko, Kajang.

Bagi Didi Nadhirah dan Mohd Rashidi atau lebih dikenali Chidie Gillo, mereka mahir menyediakan juadah tradisi negeri kelahiran iaitu laksa Johor, sementara Nabiel pula 'pakar' memasak laksa Sarawak yang menjadi juadah kegemarannya.

Didi Nadhirah. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Didi Nadhirah. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Didi Nadhirah berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu memberikannya peluang untuk menajamkan kemahiran memasak dan membuahkan rezeki untuk mengusahakan perniagaan makanan secara dalam talian.

"Biarpun bidang kerja dahulu dan sekarang jauh bezanya ia tetap berkait rapat iaitu melayani pelanggan makan, dengan kini perlu bertungkus lumus di dapur berbanding ketika bertugas sebagai kru kabin yang kebanyakan menunya dalam pesawat sudah disiapkan awal.

"Inilah cabaran hidup dan kami tidak boleh hanya tunggu dipanggil kembali bertugas tanpa berbuat apa-apa sedangkan banyak komitmen perlu dilunaskan. Alhamdulillah rezeki Allah luas dan tiada pengakhiran dan kami mencabar kemampuan diri dengan mengusahakan perniagaan makanan," katanya.

Dhapor Pramugari dibuka untuk membolehkan peminat laksa menikmati makanan di kedai. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Dhapor Pramugari dibuka untuk membolehkan peminat laksa menikmati makanan di kedai. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kecekalan tiga kru penerbangan itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut nama mereka ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas Kita Prihatin pada 23 September lalu.

Perdana Menteri mengumumkan inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KitaPrihatin berjumlah RM10 bilion dalam usaha meringankan beban rakyat.

KitaPrihatin merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta. yang menyasarkan golongan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro.

Bagi mereka, bantuan itu sekali gus membuahkan harapan kepada mereka bertiga untuk memohon GKP 2.0 bagi mengembangkan lagi jenama Dhapor Pramugari yang diusahakan itu.

Bagi Chidie Gillo, dia bersyukur menjadi antara jutaan rakyat yang menerima manfaat BPN selepas berjaya mengemukakan rayuan berikutan situasi pekerjaan dihadapi mereka suami isteri.

"Sebelum ini kami tidak mendapatkan sebarang bantuan dan mungkin COVID-19 ini memberikan hikmah dan membolehkan bantuan kerajaan sampai ke tangan kami," katanya.

Sementara Nabiel memaklumkan, mereka bersepakat memilih nama Dhapor Pramugari kerana kerjaya itu melambangkan wanita bergaya, cantik, kemas dan penuh daya penarik.

"Nama itu akan menjadi daya penarik dan kami bertiga sendiri yang memasak, menyajikan hidangan dan cuma dibantu staf sambilan pada hujung minggu.

"Kami menyediakan menu mi kari, mi sup, laksa Johor dan laksa Sarawak. Hidangan sampingan pula popia cheese Nutella, Vitnamese spring roll dan tauhu bergedil dengan gerai kami dibuka setiap hari kecuali Rabu dari jam 11 pagi hingga 11 malam," katanya.

Biarpun sudah mengusahakan perniagaan, Nabiel dan Chidie Gillo tetap terikat dengan tugas kru penerbangan dan boleh dipanggil bila-bila masa jika operasi syarikat dibenarkan kembali sementara Didie Nadhirah terbabit dengan penstrukturan syarikat baru-baru ini.

"Kami bercadang mahu meneruskan perniagaan ini dan jika mempunyai peluang bertugas semula, kami akan menggajikan pekerja untuk meneruskan apa yang kami lakukan dan tidak mahu ia terhenti begitu saja berikutan ia titik peluh dan usaha kami untuk kelangsungan hidup.

"Lagi pula kami tidak kekok untuk membuat kerja dapur, berpanas di ruangan memasak kerana gembira apabila pelanggan memberikan komen positif dan menyukai masakan kami, membuatkan kepenatan mengendalikan gerai hilang begitu saja," kata mereka.

Berita Harian X