Selasa, 3 November 2020 | 11:54am
Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didenda RM180,000 kerana gagal menjalankan kewajipan memastikan keselamatan di tapak bina, susulan insiden konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September lalu. FOTO/ARKIB NSTP
Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didenda RM180,000 kerana gagal menjalankan kewajipan memastikan keselamatan di tapak bina, susulan insiden konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September lalu. FOTO/ARKIB NSTP

Kontraktor, subkontraktor SUKE didenda RM180,000

KUALA LUMPUR: Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didenda RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan.

Ini susulan kejadian konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September lalu.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata, kontraktor utama, MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Katanya, kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

"Hasil siasatan CIDB mendapati, subkontrator itu turut tidak mengikut prosedur kerja yang betul dan mempunyai penyelia tapak yang tidak diakreditasikan.

"Justeru, subkontraktor berkenaan diarah membuat penambahbaikan dalam prosedur keselamatan termasuk menghantar pekerja, penyelia tapak dan pengurus pembinaan untuk diakreditasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 19 September lalu, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Kejadian itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap di dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.

Mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan.

CIDB berkata, bagi menjamin keselamatan awam dan langkah kerja bagi projek SUKE, pihaknya turut mengarahkan subkontraktor berkenaan melakukan audit keselamatan oleh pihak ketiga terhadap keselamatan projek, cara kerja dan pengendalian dan pengurusan tapak bina.

"Sepanjang siasatan, kedua-dua syarikat memberi kerjasama yang baik termasuk membuat aku janji untuk meningkatkan prosedur dan perlaksanaan kerja yang lebih selamat," katanya.

Berita Harian X