Isnin, 2 November 2020 | 6:57pm
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto fail NSTP/ Hafiz Sohaimi
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto fail NSTP/ Hafiz Sohaimi

20 ahli sudah boleh buka koperasi

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Koperasi (Pindaan) 2020 yang dibentangkan hari ini menetapkan penubuhan koperasi boleh dibuat dengan keahlian sekurang-kurangnya 20 orang berbanding 50 orang pada masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata langkah itu membolehkan orang ramai menubuhkan koperasi selain memudahkan urusan pentadbiran.

Jika dahulu sekurang-kurangnya 25 ahli untuk menanda tangan pengesahan minit mesyuarat, dengan pindaan ini kita cadangkan hanya sepuluh orang sudah cukup untuk mengesahkan minit mesyuarat.

"Pindaan ini juga dapat kukuhkan koperasi yang terdiri sekurang-kurangnya 20 orang boleh didaftar sebagai koperasi asas.

"Buat masa ini, satu koperasi dikehendaki 50 orang sebelum boleh didaftar sebagai satu koperasi asas," katanya membentangkan RUU itu yang kali terakhir dipinda pada 2007, untuk bacaan kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan RUU itu juga mencadangkan pindaan supaya Ahli Lembaga satu-satu koperasi dikurangkan daripada enam sebelum ini kepada hanya tiga orang.

Pengurangan bilangan ahli bagi tujuan pendaftaran koperasi, pengurangan bilangan ahli lembaga pengarah dan ahli jawatankuasa audit bertujuan memudah cara tadbir urus koperasi serta memansuhkan kelulusan suruhanjaya dalam penggunaan logo oleh koperasi.

Selain syor itu, lapan lagi cadangan pindaan turut dimasukkan dalam pindaan RUU itu yang membabitkan 11 fasal. Pindaan itu bertujuan memastikan sektor koperasi kekal relevan dan menjadi jentera penggerak ekonomi negara.

"Kementerian berpandangan bahawa Akta Koperasi 1993 perlu disemak semula bagi menambah baik penyeliaan dan kawalan sektor koperasi supaya kekal relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.

"Selain itu, pihak kementerian dan Suruhanjaya Koperasi (Malaysia) juga ingin memastikan pindaan akta ini akan menjadi pemudah cara kepada gerakan koperasi di negara ini untuk terbabit dalam bidang perniagaan yang berprofil tinggi bagi menjana pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Setakat 31 Disember 2019, ada 14,625 koperasi berdaftar di negara ini yang mempunyai kekuatan 6.09 juta ahli dengan modal syer dan yuran berjumlah RM15.39 bilion serta aset bernilai RM146.78 bilion.

Dari segi pencapaian, gerakan koperasi menjana pendapatan RM45.79 bilion dan purata pertumbuhan perolehan sektor koperasi setiap tahun meningkat sebanyak 3.97 peratus dari 2014 hingga 2019.

Berita Harian X