Isnin, 2 November 2020 | 5:06pm

SOP PRK Batu Sapi perlu dipinda, ditambah baik

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sudah dibentangkan, namun ia memerlukan beberapa pindaan dan penambahbaikan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembentangan SOP oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu belum dimuktamadkan kerana masih menunggu kelulusan agensi berkaitan.

"SOP (PRK Batu Sapi) tak boleh digambarkan lagi kerana belum mendapat keputusan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR.

"Insya-Allah sudah ada nanti (SOP), SPR sendiri akan umumkan, atau jika dibenarkan, saya akan umumkan," katanya, hari ini.

Mengulas tatacara PRK, Ismail berkata, larangan rentas daerah sukar dilaksanakan kerana keputusan sedemikian bercanggah dengan hak pengundi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sebarang keputusan kerajaan untuk melaksanakan sekatan rentas sempadan yang ingin dikenakan terhadap pengundi bagi PRK Batu Sapi, bagi mengekang penularan COVID-19 boleh dicabar di mahkamah.

"Saya boleh bayangkan warga Batu Sapi yang tinggal di Kota Kinabalu, iaitu daerah paling tinggi kes COVID-19 sekarang tetapi nak balik mengundi.

"Rentas daerah perlu dibenarkan kerana dari segi Perlembagaan Persekutuan, hak mengundi ialah milik setiap individu, tidak boleh sekat, sebaliknya perlu dipermudahkan untuk mereka mengundi," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.

Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap WARISAN itu berasal dari Kota Belud dan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN).

Menteri Kanan (Keselamatan). - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan). - Foto BERNAMA
Berita Harian X