Jumaat, 30 Oktober 2020 | 9:13pm

Institusi pendidikan di Zon Merah Johor Bahru tutup mulai Ahad ini

KUALA LUMPUR: Semua 376 institusi pendidikan dalam Zon Merah di sekitar daerah Johor Bahru, akan ditutup bermula Ahad ini.

Ia selaras perutusan Perdana Menteri pada 6 Oktober lalu, susulan peningkatan kes positif COVID-19 di daerah berkenaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui kenyataan hari ini, berkata institusi ditutup membabitkan sekolah rendah dan menengah yang berdaftar dengan KPM.

"Senarai akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan dimuat naik di portal www.moe.gov.my dan melalui platform media sosial rasmi KPM," katanya.

KPM berkata, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

Bagaimanapun, mereka yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta yang mahu terus kekal berada di asrama sekolah berkaitan sepanjang penutupan ini, akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum mereka akan disediakan pihak institusi terbabit," katanya.

KPM memaklumkan, murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang penutupan perlu mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan itu.

Katanya, sepanjang penutupan itu, pentadbir sekolah dan institusi diarahkan untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, melalui manual yang boleh dimuat turun di portal rasmi KPM.

"KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara dan akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang makluman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X