Jumaat, 30 Oktober 2020 | 5:55pm
Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat pesakit bukan COVID-19-Foto/BERNAMA (2020)
Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat pesakit bukan COVID-19-Foto/BERNAMA (2020)

Hospital Medan ATM Tawau rawat 163 pesakit

KUALA LUMPUR: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah merawat seramai 163 pesakit termasuk 20 lelaki yang tiada kaitan dengan COVID-19, dari 20 hingga 28 Oktober lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara rawatan yang diberikan adalah berkaitan dengan obstetrik, ginekologi, onkologi dan pediatrik.

"ATM memulakan operasi Hospital Medan di Tawau, Sabah bagi memberi bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merawat pesakit bukan COVID-19 di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di ibu pejabat Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Hospital ATM berkenaan yang disediakan untuk rawatan pesakit bukan COVID-19 mula beroperasi pada 20 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, hospital itu terletak di dalam Dewan Kompleks Sukan Tawau, iaitu kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau.

Dr Noor Hisham dipetik berkata sebagai permulaan, hospital itu mempunyai kapasiti 100 katil dan dilengkapi dengan unit rawatan rapi dan dewan pembedahan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X