Jumaat, 30 Oktober 2020 | 12:42pm

Kerajaan sukar benarkan pengeluaran akaun 1 KWSP - PM

PAGOH: Sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

"Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

"Memang ramai yang teks saya berkata 'tolonglah Tan Sri, kami susah.' Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di SMK Bukit Pasir, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di SMK Bukit Pasir, hari ini. - Foto BERNAMA

"Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di sini, hari ini.

Sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19. - Foto hiasan
Sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19. - Foto hiasan
Berita Harian X