Jumaat, 30 Oktober 2020 | 9:43am
SEMPORNA 30 OKTOBER 2020. Wad Pembedahan di hospital Semporna yang beroperasi bermula hari ini. Nstp / Ihsan Hospital Semporna.
SEMPORNA 30 OKTOBER 2020. Wad Pembedahan di hospital Semporna yang beroperasi bermula hari ini. Nstp / Ihsan Hospital Semporna.

Dewan bedah Hospital Semporna beroperasi selepas 13 tahun

SEMPORNA: Hospital Semporna hari ini secara rasminya memulakan pembukaan dewan bedah selepas 13 tahun pembedahan tidak di laksanakan di hospital itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dewan bedah yang dinaik taraf itu membolehkan pembedahan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi dapat dilaksanakan dengan bantuan pakar dari Hospital Tawau, manakala pembedahan lain akan dimulakan secara berperingkat.

Beliau berkata, menerusi projek naik taraf itu, kesiapsiagaan Hospital Semporna dan juga kawasan pantai timur Sabah dapat dipertingkatkan bagi menghadapi pandemik COVID-19.

"Pembedahan membabitkan pesakit COVID-19 juga akan dilaksanakan di dewan bedah Hospital Semporna.

"Tidak semua pembedahan perlu dirujuk ke Hospital Tawau seterusnya membolehkan kapasiti Hospital Tawau dioptimumkan sepenuhnya," katanya menerusi Facebook rasminya, malam tadi.

Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus (tengah) bersama pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Semporna. - NSTP/ihsan Hospital Semporna
Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus (tengah) bersama pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Semporna. - NSTP/ihsan Hospital Semporna

Sementara itu, Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus, berkata ketika ini hospital mempunyai kapasiti 1,411 katil bagi menempatkan pesakit COVID-19, selain Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berbanding kekuatan asal yang hanya mempunyai kapasiti 70 katil.

"Kita juga dalam persediaan untuk membuka wad 'High Dependency' (HDW) dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi membolehkan rawatan awal dan kritikal dapat dilaksanakan selain membantu meningkatkan kualiti rawatan kepada masyarakat setempat.

"Persediaan ini membabitkan banyak cabaran daripada segi pengurusan kewangan, aset dan juga pengurusan sumber manusia namun kita bertuah kerana mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Hospital Semporna juga antara hospital hibrid COVID-19 yang memulakan rawatan di wad dengan bantuan daripada pakar dan kakitangan perubatan.

"Walaupun hospital kecil, semangat kami besar dan warga kerja Hospital Semporna termasuk bantuan luar sentiasa komited dan bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat Semporna," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X