Khamis, 29 Oktober 2020 | 3:53pm
IBU Pejabat UMNO di Kuala Lumpur. - ARKIB NSTP
IBU Pejabat UMNO di Kuala Lumpur. - ARKIB NSTP

MKT UMNO mesyuarat lagi, dijangka bincang isu calon TPM

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka bermesyuarat sekali lagi malam ini dengan agenda utama dipercayai berkaitan kedudukan wakilnya dalam Kabinet dan juga calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Mesyuarat dijangka bermula jam 8 malam, dilapor akan dipengerusikan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia dikatakan akan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Mahdzir Khaled dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Seorang Ahli MKT UMNO yang enggan dinamakan, berkata jemputan mesyuarat dibuat pagi tadi secara terus kepada ahli MKT, namun hebahan mesyuarat tidak dimaklumkan kepada media.

"Ya, betul," kata sumber itu ketika dihubungi BH dan ditanya mengenai mesyuarat berkenaan, namun enggan memperincikan lebih lanjut ketika diminta mengulas sama ada dua isu berkenaan akan dibawa ke dalam mesyuarat malam ini.

Sumber Ibu Pejabat UMNO dan pegawai beberapa pemimpin parti itu, pula memaklumkan kepada BH, mesyuarat malam ini diadakan susulan sedikit 'kekecohan' yang didakwa berlaku dalam mesyuarat Kabinet semalam, membabitkan menteri UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mereka juga memaklumkan, ia juga bagi mendengar dan menerima penjelasan susulan ada dakwaan yang mengaitkan Ahmad Zahid sebagai calon TPM, selain nama beberapa pemimpin kanan lain.

Antara nama disebut-sebut sebagai calon TPM mewakili UMNO adalah Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Bendahari Agung BN yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikaitkan dengan jawatan nombor dua dalam Kabinet itu, namun beliau dilaporkan menolak atas alasan demi kepentingan UMNO.

Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau juga disebut-sebut sebagai dicalon TPM, namun beliau perlu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara terlebih dahulu untuk berada dalam Kabinet Persekutuan.

Berita Harian X