Khamis, 29 Oktober 2020 | 11:57am
Foto ihsan Sarawak Tourism Board
Foto ihsan Sarawak Tourism Board

COVID-19: Institusi pendidikan di Kuching tutup 14 hari

KUCHING: Sebanyak 209 institusi pendidikan di Kuching diarah tutup 14 hari mulai esok hingga 13 November selepas daerah ini diisytihar zon merah COVID-19.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini, arahan penutupan itu membabitkan sekolah rendah dan menengah, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Beliau berkata, sekolah serta institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama hari ini.

"Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden," menurut kenyataan itu.

Bagi pelajar yang perlu menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh arahan penutupan dilaksanakan, pentadbir semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," katanya.

Katanya, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X