Selasa, 27 Oktober 2020 | 5:47pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto BERNAMA

PRK Batu Sapi: Bukan kuasa kerajaan tentukan boleh atau tidak

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak ada hak untuk menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi harus diteruskan atau sebaliknya, ketika negara masih berdepan penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan bahawa pilihan raya perlu diadakan jika berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau berlaku kekosongan kerusi termasuk disebabkan kematian penyandangnya.

"Ia bukan kuasa kerajaan untuk menentukan. Ia sudah termaktub dalam Perlembagaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikhnya.

"Jadi, pilihan raya mesti diteruskan kerana ia tidak boleh lewat daripada 60 hari (selepas kekosongan kerusi dimaklumkan Speaker kepada SPR)," katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan PRK Parlimen Batu Sapi berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat, termasuk disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Ismail Sabri memaklumkan, SPR akan membentangkan SOP untuk keluar mengundi bagi PRK Parlimen Baru Sapi sama ada esok atau lusa bagi menjamin keselamatan penduduk yang ingin keluar mengundi, antaranya bagi mengurangkan pergerakan dan kontak dengan individu lain.

"Kita faham ketakutan rakyat di Batu Sapi. Saya difahamkan, rakyat di situ cemas untuk keluar mengundi dan petugas pilihan raya pun tidak berani untuk bertugas ketika pilihan raya.

"Bagaiamanapun, kita tidak boleh menahan sesiapa pun untuk keluar mengundi kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk mengundi, kecuali kes seperti di PRN dahulu membabitkan mereka yang dijangkiti COVID-19," katanya.

Mengenai SOP perayaan Deepavali yang akan disambut 14 November ini, Ismail Sabri berkata, ia akan diumumkan dalam minggu ini.

Sebelum ini, SPR menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.

Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap WARISAN itu berasal dari Kota Belud dan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN).

Berita Harian X