Selasa, 27 Oktober 2020 | 10:53am

1 maut, 4 hilang kapal Dayang Topaz karam di Kuala Baram

PUTRAJAYA: Seorang maut, empat lagi hilang apabila sebuah kapal penyelenggaraan, Dayang Topaz, karam di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, seramai 121 kru kapal berkenaan berjaya diselamatkan apabila melompat ke dalam laut, manakala 62 lagi masih berada di atas kapal berkenaan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima maklumat daripada pengendali kapal Sapura Construction, jam 6.45 pagi tadi, melaporkan menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz dan mendapati kapal berkenaan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi terjun ke laut.

Setakat jam 8. 45 pagi tadi katanya, seramai 121 kru berjaya diselamatkan oleh pasukan SAR yang turut serta usaha mencari dan menyelamat mangsa itu. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Setakat jam 8. 45 pagi tadi katanya, seramai 121 kru berjaya diselamatkan oleh pasukan SAR yang turut serta usaha mencari dan menyelamat mangsa itu. - Foto ihsan Maritim Malaysia

MIRI 27 OKTOBER 2020. 121 kru kapal Dayang Topaz yang berjaya diselamatkan sejurus kapal yang dinaiki mereka merempuh pelantar minyak di Kuala Baram, Miri, pagi tadi. STR/ERIKA GEORGE
MIRI 27 OKTOBER 2020. 121 kru kapal Dayang Topaz yang berjaya diselamatkan sejurus kapal yang dinaiki mereka merempuh pelantar minyak di Kuala Baram, Miri, pagi tadi. STR/ERIKA GEORGE

Seramai 121 kru kapal MV Dayang Topaz diselamatkan, dalam kejadian kapal karam di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini. Gambar ihsan Maritim Malaysia
Seramai 121 kru kapal MV Dayang Topaz diselamatkan, dalam kejadian kapal karam di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini. Gambar ihsan Maritim Malaysia

Katanya, aset bantuan telah digerakkan ke lokasi berkenaan membabitkan tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia berpangkalan di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat PETRONAS dan Shell.

"Seramai 121 kru berjaya diselamatkan, seorang meninggal dunia dan empat lagi hilang dalam operasi menyelamat pada jam 8.45 pagi ini," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Zubil berkata, kesemua kru yang diselamatkan dibantu oleh aset-aset bantuan dan kapal-kapal yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, pihak MRCC Putrajaya kini sedang giat melaksanakan koordinasi lanjut bagi mencari dan menyelamat empat kru yang masih hilang dalam Operasi Carilamat.

Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman mengesahkan, kejadian dipercayai berlaku akibat angin serta ombak yang kuat.

Kapal penyelenggaraan, Dayang Topaz, karam di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak pagi tadi. - Foto Maritim
Kapal penyelenggaraan, Dayang Topaz, karam di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak pagi tadi. - Foto Maritim
Berita Harian X