Isnin, 26 Oktober 2020 | 11:51pm
Pengerusi Penasihat BN yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Menara Dato' Onn selepas menghadiri mesyuarat tergempar Ahli Parlimen BN. - Foto Asyraf Hamzah
Pengerusi Penasihat BN yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Menara Dato' Onn selepas menghadiri mesyuarat tergempar Ahli Parlimen BN. - Foto Asyraf Hamzah

Najib cadang kerjasama bersyarat dengan Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kerjasama bersyarat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika masih tidak berpuas hati dengan layanan diterima daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan membabitkan parti DAP.

Katanya, UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain termasuk parti Anwar (PKR) jika masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

"Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan membabitkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.

"Jika dulu, saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin walaupun pada masa itu PPBM adalah musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen UMNO, kenapa kita tidak boleh berunding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

"Syarat-syarat ini termasuk membuka jalan untuk UMNO mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi berikutan ketika ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memonopoli jawatan Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti UMNO, PAS atau mana-mana parti lain.

"Dengan ini, kita boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih efektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan lalu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga turut mencadangkan UMNO mendesak satu tarikh yang tetap untuk Pilihanraya Umum (PRU) pada masa hadapan selepas COVID-19 terkawal.

Katanya, membubar Parlimen untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih semula juga pilihan parti semasa Perdana Menteri Ke-tujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) letak jawatan pada bulan Februari lalu.

"Saya berpendapat ini adalah pilihan terbaik untuk negara sebab majoriti yang tipis kerajaan PN adalah punca politik tak stabil pada ketika ini dan ini juga akan menyebabkan pelabur tak yakin dengan negara sebab mereka akan bimbang untuk melabur jika kerajaan akan tumbang pada bila-bila masa.

"Saya juga berpendapat bahawa PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah mencorak langkah yang salah untuk meminta darurat dalam usaha kekalkan kuasa dan saya bimbang bahawa permintaan dia yang ditolak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu boleh menyebabkan UMNO disalahkan pengundi," katanya.

Dalam kenyataan itu lagi, beliau juga masih terbuka untuk memberi sokongan bersyarat kepada PN sehingga PRU15 tetapi perlu berunding semula syarat-syarat supaya UMNO dan BN turut diberi peranan lebih besar terutama dalam hal ehwal berhubungan ekonomi.

"Walau bagaimanapun, itu antara cadangan dan pendapat saya dalam mesyuarat hari ini. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincangkannya. Sebagai orang parti, saya akan terus menyokong keputusan majlis kerja tertinggi UMNO yang bermesyuarat malam ini," katanya.

Selain itu, Najib turut menempelak dakwaan sebuah portal yang beliau mendapat tentangan hebat daripada pemimpin BN ketika mesyuarat parti komponen berkenaan di ibu negara petang tadi.

"Ada portal media yang laporkan seolah-olah saya mendesak semua ahli Parlimen Umno untuk sokong Anwar jadi Perdana Menteri.

"Tiada sesiapa pun yang serang saya dalam mesyuarat hari ini. Noh Omar tak serang saya dan Nazri tak serang saya. Nazri tak hadir dalam mesyuarat hari ini pun sebab dia ada di Kelantan. (Dakwaan) ini kurang tepat," katanya.

Portal itu melaporkan pada mesyuarat BN hari ini, cadangan Najib supaya gabungan itu bekerjasama dengan Anwar untuk menggulingkan kerajaan Muhyiddin mendapat tentangan hebat pemimpin Umno.

Dakwa portal itu, antara yang lantang membantah ialah ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz dan ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar.

Berita Harian X