Ahad, 25 Oktober 2020 | 12:46pm
Koordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia, Mustafa Mansor (kiri) menunjukkan salinan memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara. - Foto/Asyraf Hamzah
Koordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia, Mustafa Mansor (kiri) menunjukkan salinan memorandum yang diserahkan kepada Istana Negara. - Foto/Asyraf Hamzah

GBMRM serah memorandum kepada Agong

KUALA LUMPUR: Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) menggariskan lima perkara utama dalam memorandum diserahkan kepada Istana Negara, di sini, hari ini.

GBMRM merangkumi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Otai Reformis 98, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pertubuhan Ikatan Cendekiawan Muslim Malaysia (ICMA).

Koordinator GBMRM, Mustafa Mansor, berkata menerusi memorandum itu, pihaknya memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dalam isu pelantikan Perdana Menteri.

"Perdana Menteri mesti mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Yang kedua, memohon Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa mengikut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Ia supaya tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen. Yang ketiga, memohon Agong menasihatkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya meletak jawatan sekiranya tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Pintu 2, Istana Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mustafa bersama beberapa ahli gabungan itu dilihat tiba di pintu berkenaan pada jam 11 pagi, untuk menyerahkan memorandum terbabit kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Mohd Husni Yusop.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pihaknya turut memohon Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan beberapa ahli akademik supaya kerajaan interim ditubuhkan.

"Perkara itu tiada dalam Perlembagaan. Kita turut memaklumkan laporan mengenai Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang dikatakan tidak membenarkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Kami mohon Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan usul itu dibentangkan bagi melihat sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X