Sabtu, 24 Oktober 2020 | 11:47pm
Anggota dari Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) penjara membuat kawalan di pintu masuk di Kompleks Penjara Kota Kinabalu, di Kepayan hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Anggota dari Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) penjara membuat kawalan di pintu masuk di Kompleks Penjara Kota Kinabalu, di Kepayan hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin

COVID-19: Lebih 1,000 kes di kawasan setinggan

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 kes positif COVID-19 dilaporkan di kawasan setinggan di Sabah, iaitu di Semporna dan Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,085 kes di Semporna, manakala 267 kes di Kota Kinabalu.

"Ini menjadikan sebanyak 1,352 kes COVID-19 dilaporkan di dua kawasan setinggan berkenaan setakat ini," katanya dalam sidang media perkembangan harian COVID-19 negeri Sabah, di sini malam ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, terdapat kes COVID-19 yang membabitkan lima pegawai yang bertugas di Pusat Tahanan Sementara Papar.

"Susulan daripada itu, sejumlah 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah disaring hari ini dan masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa banduan di daerah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan menjalani saringan COVID-19 sebelum dimasukkan ke dalam penjara.

"Tidak semua rakyat Sabah perlu menjalani 'swab test' (ujian calitan). Mereka yang perlu menjalani ujian swab adalah mereka antaranya yang termasuk dalam kategori

kontak rapat kepada kes positif COVID-19, pesakit yang mempunyai gejala seperti demam dan pengembara yang kembali ke Sabah dari luar negara," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, dakwaan portal bahawa kos bagi setiap bakul makanan berjumlah RM366 tidak benar.

"Penulis itu tidak sepatutnya membuat tanggapan bahawa harga sebakul makanan RM366 dengan membahagi jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan dengan jumlah bakul yang sudah diagihkan.

"Semalam saya menyatakan bahawa jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada daerah ialah RM26.7 juta. Ini tidak bermakna semua peruntukan itu sudah dibelanjakan dan bakul makanan diagihkan sepenuhnya.

"Seperti yang saya laporkan setiap hari, pengagihan bakul makanan di daerah masih berjalan dan bilangan bakul makanan yang diagihkan bertambah dari hari ke hari," katanya.

Berdasarkan Garis Panduan Bekalan Bakul Makanan yang disediakan, nilai Bakul Makanan ialah RM100 untuk setiap bakul.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM26.7 juta kepada 25 daerah di Sabah untuk digunakan bagi tujuan pengagihan Bakul Makanan.

Sehingga hari ini, sebanyak 84,814 bakul makanan sudah diagihkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X