Sabtu, 24 Oktober 2020 | 8:46pm
Sekolah Tinggi Islam As Sofa antara yang ditutup. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Sekolah Tinggi Islam As Sofa antara yang ditutup. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sekolah di Seremban ditutup

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di Seremban yang juga zon merah COVID-19, ditutup bermula Isnin ini hingga 9 November.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu membabitkan 177 institusi merangkumi sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan guru dan sekolah swasta.

"Kementerian Pendidikan mengambil perhatian peningkatan kes positif COVID-19 di Seremban dan daerah ini sudah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan.

"Ini selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 6 Oktober berhubung keputusan kerajaan menutup sekolah di kawasan yang disahkan zon merah," katanya, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sekolah yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

"Bagi murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal di asrama, sepanjang tempoh penutupan itu akan berada berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum mereka sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan," katanya.

Kenyataan itu berkata, pelajar yang dijadualkan menduduki peperiksaan antarabangsa sepanjang tempoh penutupan institusi, mereka perlu memperoleh surat daripada sekolah masing-masing bagi menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan ini, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual itu boleh dimuat turun di portal rasmi, www.moe.gov.my," katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan memantau penularan wabak COVID-19 dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

"Senarai sekolah dan institusi terbabit akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi Kementerian Pendidikan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X